Sesungguhnya Program Dwibahasa (DLP) yang dilaksanakan kini adalah penjelmaan semula program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah ditamatkan. Bukankah DLP akan meruntuhkan bahasa Melayu di samping mengorbankan pendidikan anak-anak bangsa kita seperti mana PPSMI?

Ramai penulis dan sasterawan negara menentang program DLP. Kementerian Pendidikan sewajarnya menerima pandangan tersebut untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Kebanyakan negara maju lain menggunakan bahasa ibunda dalam sistem pendidikannya.

Negara kita begitu berusaha mencontohi Jepun memajukan pendidikannya, mengapa tidak mengambil contoh bahasa yang digunakan mereka?

Kerajaan sepatutnya berusaha menerbitkan buku-buku terjemahan bagi mata pelajaran kritikal dalam bahasa Melayu sebagaimana dilakukan negara itu yang begitu pesat menterjemahkan segala ilmu daripada bahasa asing ke bahasa Jepun.

Semoga Menteri Pendidikan menerima pendapat rakyat demi memartabatkan bahasa Melayu.

REJAB ISMAIL
Timbalan Yang Dipertua Pemanis