Hal ini telah lama berlaku namun belum ada kesungguhan pihak kerajaan dan majikan di Malaysia untuk menangani isu ini secara menyeluruh. Isu diskriminasi boleh dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu jantina, kaum dan agama.

Diskriminasi jantina terbukti apabila laporan Kementerian Pengajian Tinggi pada 2016 menunjukkan graduan wanita lebih ramai berbanding lelaki iaitu 62 peratus berbanding keseluruhan 540,638 orang.

Tetapi amat mengecewakan apabila kadar penyertaan tenaga kerja wanita pada tahun yang sama amat rendah berbanding lelaki. Wanita ditawarkan gaji jauh lebih rendah berbanding lelaki dan majikan tidak menyediakan persekitaran kondusif untuk mereka bekerja dengan selesa.

Diskriminasi agama pula melibatkan hotel yang melarang pekerja wanita bertudung. Terdapat juga larangan untuk pramugari beragama Islam syarikat penerbangan tertentu memakai tudung.

Diskriminasi kaum pula kebanyakan membabitkan graduan Melayu. Pada 2016, negara kita digegarkan dengan satu dapatan kajian yang telah dilakukan oleh Dr. Hwok Aun Lee (Universiti Malaya) dan Dr. Muhammad Abdul Khalid (Universiti Kebangsaan Malaysia).

Mereka telah menghantar 3,022 resume palsu kepada 753 iklan dalam talian bagi jawatan jurutera dan akaun/kewangan. Separuh daripada resume itu didaftarkan sebagai pemohon Melayu dan baki separuh lagi didaftar sebagai pemohon Cina.

Kelayakan pada resume itu dipadankan untuk pemohon kaum Melayu dan Cina supaya tidak timbul isu mengenai perbezaan kualiti graduan dalam kajian itu. Mereka mendapati 22.1 peratus pemohon Cina akan dipanggil untuk temuduga kerja berbanding dengan pemohon Melayu yang hanya sekadar 4.2 peratus sahaja.

ABDUL AZIM ROSLAN

Penolong Setiausaha Angkatan 
Bersatu Anak Muda (Armada) 
Bahagian Selayang