Contohnya, banyak isu halal yang tular dalam media sosial sejak kebelakangan ini.

Jangan membisu seribu bahasa apabila ada antara bahan makanan yang dijual dalam bungkusan termasuk mi segera atau makanan dalam tin serta air minuman berkarbonet dikatakan mengandungi enzim babi.

Kami sebagai umat Islam kini mula was-was dan tidak pasti dengan produk yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat tertentu bukan bumiputera yang telah diberikan logo halal.

Yang menjadi kemusykilan dan tanda tanya apabila ada badan-badan tertentu telah membuat kajian terperinci terhadap makanan yang dibungkus atau ditinkan termasuk minuman didapati ada unsur-unsur haram seperti lemak babi tetapi masih diberikan logo halal.

Siapa patut kami yakini sekarang, Jakim yang mengeluarkan logo halal atau institusi tertentu yang telah membuat kajian terhadap produk yang telah dilabelkan halal oleh Jakim?

Jakim tidak boleh berpeluk tubuh sahaja dan mendiamkan diri kalau sekiranya apa yang ditularkan dalam media sosial mengenai isu halal ke atas barangan tertentu kerana pengguna berada dalam keadaan serba salah.

Sepatutnya Jakim mengambil tindakan sewajarnya kalau terdapat sebaran yang disampaikan itu tidak benar atau difitnahkan.

Pada masa sama, jangan benarkan apa-apa juga syarikat pengeluaran produk makanan yang diusahakan oleh bukan Islam menggunakan nama unsur-unsur keislaman untuk mengelirukan pelanggan beragama Islam.

PENGGUNA PRIHATIN
Ampangan