Sejak 10 tahun lalu, saya lihat ramai wakil rakyat yang ‘ponteng’ daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat seolah-olah kehadiran mereka adalah secara ‘sukarela’ dan bukannya wajib.

Menjadi wakil rakyat bermakna anda bekerja untuk rakyat, gaji anda dibayar melalui hasil negara yang pada dasarnya adalah milik rakyat negara ini.

Jika sekadar mahu berlagak menjadi Yang Berhormat atau goyang kaki dengan pencen wakil rakyat, lebih baik letak jawatan sebelum terkena ‘sumpah’ rakyat dan disoal di akhirat kelak.

Lagipun, sidang DUN dan Dewan Rakyat bukannya setiap hari. Hari yang tiada persidangan boleh dihabiskan di pusat perkhidmatan wakil rakyat masing-masing.

Sebab itu saya tidak suka memilih wakil rakyat yang mempunyai kerja lain tidak kira peguam, doktor, kontraktor dan peniaga kerana mereka tidak dapat menumpukan sepenuh masa kepada pengundi di kawasan masing-masing.

Oleh itu, saya mewakili rakyat Malaysia mengucapkan tahniah kepada semua yang menang, takziah kepada yang kalah dan ‘tidak halal gaji anda’ kepada wakil rakyat yang ponteng sidang DUN dan Dewan Rakyat selepas ini.

DR. HISHAM

Petaling Jaya, Selangor