Usia sebegitu sepatutnya sudah berada di rumah seawal 7 malam bersama keluarga atau mengulang kaji pelajaran. Ia seperti satu trend pula apabila kebanyakan remaja akan berkumpul di antara waktu tengah malam sehingga awal pagi tanpa kawalan ibu bapa. Mereka juga menghisap rokok tanpa rasa bersalah atau malu dengan pelanggan sekeliling yang jauh lebih dewasa daripada mereka.

Pihak kerajaan juga sewajarnya mengetatkan undang-undang bagi remaja di bawah usia 19 tahun seperti larangan keluar waktu malam. Penalti yang lebih tinggi perlu dikenakan jika ditangkap merokok di kedai makan.

Pada masa sama, kerajaan juga perlu melihat semula waktu operasi kedai-kedai makan serta kesannya kepada peningkatan masalah sosial dalam kalangan remaja.

Selain itu, satu inisiatif khusus perlu dirangka bagi golongan pelajar supaya mereka lebih berminat melakukan perkara yang menyeronokkan selepas sesi persekolahan. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan boleh memberikan insentif kepada mereka yang menceburi aktiviti bersukan.

Banyak padang di kawasan perumahan sekarang terbiar tanpa aktiviti sukan, justeru golongan remaja ini digalakkan menubuhkan kelab bola sepak sendiri dan mereka diberi tanggungjawab menjaga dan menghidupkan setiap kemudahan yang diberikan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).

HAT

Lembah Beringin, Selangor