Dia masih ingat bila kami berbincang dalam kuliah dulu mengenai guru senior dan guru novis. Saya menceritakan pengalaman sendiri sebagai guru muda dan sebagai guru senior. Dia rasa memang benar apa yang saya kongsi dalam pengalaman tersebut kerana ia berlaku kepada dirinya juga.

Guru senior di sekolahnya sentiasa cuba mengelat (mengelak) daripada membuat kerja yang sepatutnya, dan pentadbir pula sentiasa menekan kami guru novis (muda) disebabkan ramai guru senior memberi alasan sakit dan tidak sihat.

Pentadbir sekolah pula sering dan asyik menyerah tugas dan tanggungjawab kepada guru muda kerana dikatakan kami masih muda, baru dan bertenaga selain memberi peluang menimba pengalaman.

Saya pernah berkongsi pengalaman ini dengan bekas pelajar tentang alasan yang sering diberikan guru senior iaitu ‘tiba masa untuk menyerahkan tanggungjawab kerana guru senior akan sering berkata mereka sudah tak larat, penat, jenuh, kerana sudah lama membuat kerja rutin atau kebiasaan yang diarahkan oleh pihak sekolah. Nampaknya putaran kisah berkisar semula.

Cuma saya tidak bersetuju apabila beliau merungut mengenai gaji guru senior.Katanya, boleh dikatakan pentadbir sentiasa memberi muka pada guru senior yang kebanyakannya bergaji besar dan berpangkat tinggi tetapi bebanan kerja yang diberikan sangatlah sedikit jika dibandingkan dengan gaji guru muda perolehi. Tentulah gaji guru senior lebih besar kerana mereka sudah berusia dan hampir tamat tempoh perkhidmatan dalam kerajaan atau hampir pencen.

Yang saya setuju dengan beliau bahawa guru muda sentiasa positif untuk menerima kerja yang diberikan tetapi biarlah ada keadilan dalam perkongsian bebanan kerja. Walaupun mereka muda, namun punya kudrat lebih daripada guru senior, masih di peringkat sedang mengadaptasi tekanan kerja dan kehidupan yang secara realitinya masih belum stabil dari segi kewangan.

Alhamdulillah, semangat yang saya tiupkan kepada beliau ketika menjalani latihan kursus sekurang-kurangnya tersemat dalam jiwa. Saya mencelah dengan menyatakan bahawa guru muda tidak boleh memberi alasan masalah kehidupan untuk mengelak kerja yang diberikan dan guru senior juga tidak boleh diberikan alasan untuk tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan sentiasa mencari jalan agar tugas dan tanggungjawab diberi kepada guru lebih muda.

Saya percaya dan berharap agar generasi guru muda yang menjadi harapan negara mampu menempuhi dan menghadapi tekanan kerja, kemurungan, dan stres melampau.

Bukan kami tidak pernah meluahkan, tetapi suara kami tidak didengari atau dengan erti kata lain tiada siapa pernah peduli isi hati kami. Janganlah disebabkan segelintir guru yang pemalas semua guru muda yang rajin terpaksa menerima natijahnya. Berilah sedikit rasa kasihan, suntiklah sedikit rasa perikemanusiaan dan tanamlah sifat keadilan dalam menguruskan sesebuah organisasi.

GURU PRIHATIN, Sabah.