Ini sekali gus membuktikan bahawa rakyat Malaysia adalah pengguna internet dan media sosial yang aktif. Namun begitu 
di sebalik kerancakan penggunaan media sosial di Malaysia, terdapat pelbagai kritikan yang telah dikemukakan oleh pihak-pihak tertentu tentang kesan buruk hasil penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat.

Terkini, aplikasi siaran langsung Facebook atau dalam istilah Inggeris live Facebook yang telah disalahgunakan oleh segelintir pengguna yang merakam filem dalam wayang untuk dikongsi secara langsung dengan rakan atau pengikut Facebooknya.

Perbuatan itu kemudian telah mendapat kritikan yang hebat daripada penggiat dan peminat seni tempatan kerana jelas ia satu bentuk jenayah cetak rompak digital. Yang pasti, perkara tersebut mendatangkan kerugian kepada pelbagai pihak terutamanya penggiat seni tempatan.

Begitu juga dengan fenomena tular atau viral sama ada menerusi Facebook, Twitter mahupun Instagram yang seringkali dibahas kerana telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menyebarkan fitnah yang tidak berasas sehingga memalukan dan menjejaskan imej serta reputasi orang lain.

Terbaharu, tular beberapa gambar suspek-suspek yang terlibat dengan kes kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato’ Keramat yang jelas bertentangan dengan undang-undang kerana mereka masih di bawah umur.

Malahan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataannya akhbarnya sebelum ini turut mengingatkan orang ramai untuk tidak menularkan gambar mahupun video mangsa kebakaran 
pusat tahfiz berkenaan demi menjaga perasaan keluarga mangsa.

Jelas sekali, keseronokan untuk menularkan sesuatu perkara kadangkala menyebabkan pengguna media sosial lupa akan batasan dan tanggungjawab dalam hidup bermasyarakat.

Sebagai contoh lainnya, ada dalam kalangan masyarakat kita yang lebih mengutamakan usaha merakam mangsa kemalangan jalan raya dengan hasrat untuk menjadikan gambar atau video tersebut tular berbanding membantu dan menyelamatkan mangsa.

Selain itu, sejak kebelakangan ini juga terdapat banyak kes dilaporkan berkenaan penyalahgunaan fungsi ruangan sembang atau ruangan mesej dalam media sosial sebagai modus operandi oleh sesetengah individu untuk menipu dan menyebar fitnah.

Bahkan ada yang menghubungi kekasih lama sehingga membawa kepada kecurangan dan kehancuran dalam rumah tangga. Sebenarnya, media sosial dan fungsi-fungsi yang ada padanya tidak membawa keburukan tetapi pengguna yang bertindak menyalahgunakannya.

Justeru, pengguna media sosial perlulah bijak menggunakan media sosial agar natijahnya memberikan kebaikan. Misalnya, ruangan mesej yang ada dalam Facebook itu perlu digunakan sebagai medium untuk kekal berhubung dan berinteraksi dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang berjauhan terutama bagi mereka yang tinggal di luar negara.

Malahan, media sosial seperti Facebook, Instagram mahupun Twitter juga boleh digunakan sebagai medium untuk mencari rakan lama yang terpisah dan kembali berhubung semula dengan mereka serta mengikat ukhuwah sesama insan.

Selain itu, terdapat kelebihan lain yang ada pada media sosial untuk tujuan kebaikan seperti menularkan maklumat tentang seseorang yang memerlukan bantuan kewangan untuk menjalani rawatan perubatan atau pembedahan. Bagaimanapun, menjadi tanggungjawab pengguna untuk menyemak dan memastikan kesahihan maklumat sebelum menularkannya.

Ingatlah, sebagai pengguna bijak, kita perlu memastikan media sosial sentiasa digunakan ke arah manfaat dan bukannya kemudaratan.

Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh

Pusat Pengajian Komunikasi

Universiti Sains Malaysia