Oleh itu saya fikir sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan satu garis panduan dalam usaha memelihara bahasa Melayu yang kini mula dirosakkan oleh bahasa pasar atau mudah.

Walaupun negara kini berada di era teknologi maklumat atau globalisasi, tidak semestinya bahasa Melayu yang merupakan bahasa Kebangsaan perlu melalui transformasi bagi memenuhi citarasa golongan moden. Bahasa Melayu sebenarnya mempunyai peranan yang cukup penting terutama sebagai ejen perpaduan antara semua kaum dan etnik di negara ini. Bagaimanapun, fungsi bahasa itu dalam konteks perpaduan kaum sejak akhir-akhir ini boleh disifatkan agak terhakis.

Cuba lihat beberapa sekolah di kawasan bandar. Ternyata penggunaan bahasa Melayu boleh dikatakan kurang berbanding bahasa Inggeris. Bagi pelajar-pelajar di kawasan bandar mereka lebih selesa berbahasa Inggeris. Tambahan pula mereka yang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris akan dilihat sebagai pelajar yang pintar.

Tanggapan seperti ini tidak benar sama sekali. Justeru tanggapan itu perlu diubah demi meletakkan bahasa Melayu pada kedudukan sewajarnya. Saya tidak kata bahasa Inggeris itu tidak penting tetapi jangan sampai kita meminggirkan bahasa Melayu.

Mahu tidak mahu sesuatu perubahan perlu dilakukan agar pelajar-pelajar di negara ini sentiasa bertutur dalam bahasa Melayu. Langkah itu juga amat penting bagi memperkukuhkan lagi kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan khususnya dalam kalangan pelajar bukan Melayu.

Dalam kajian saya mendapati sebahagian besar pelajar sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil masih kurang mahir dalam bahasa Melayu terutama dalam konteks penggunaan ayat dan perkataan bersesuaian. Walaupun pelajar berkenaan boleh mendapat pangkat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tidak semestinya pelajar yang sama mampu bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu.

Dari sekolah, kita terus ke Parlimen. Di sini keadaannya agak berbeza. Di Parlimen kita boleh menyaksikan keupayaan wakil-wakil rakyat dan para senator menggunakan bahasa Melayu dengan fasih dan baik. Antaranya seperti Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan,

Saya kira ini amat penting agar rakyat boleh memahami setiap mesej yang mahu disampaikan oleh Ahli Parlimen berkenaan. Akhir sekali, kita sebagai rakyat Malaysia tidak kira Melayu, Cina atau India perlu mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam memelihara bahasa Melayu supaya bahasa ini tidak pupus ditelan zaman.

MOHAN CHINNASAMY

Kuala Lumpur