Terdapat beberapa papan tanda peraturan yang perlu kita patuhi ketika menggunakan kemudahan tandas awam. Pertamanya, kita perlu sentiasa menjaga kebersihan. Tandas yang bersih akan memberikan impak segar dan selesa ketika menggunakannya. Merokok di dalam tandas juga dilarang. Asap rokok berupaya mencemarkan udara kerana memberi kesan bau yang tidak menyenangkan kepada pengguna lain. Puntung rokok yang dibuang merata-rata turut mencemarkan lantai tandas awam. Sisa bara puntung rokok juga boleh mengundang kebakaran sekiranya dibuang terus ke dalam tong sampah.

Selain itu, jangan basahkan lantai di dalam tandas. Lantai yang basah boleh membahayakan pengguna lain terutamanya golongan warga emas dan kanak-kanak serta boleh menjadi kotor apabila dipijak dan meninggalkan kesan tapak kasut.

Dilarang menconteng di dinding tandas awam, jimat dalam menggunakan air, pam tandas selepas digunakan dan jangan terlalu membazir menggunakan tisu tandas. Apabila tandas awam di negara kita cantik dan menarik, ia mampu melambangkan masyarakat yang pembersih dan prihatin terhadap kebersihan. Justeru, marilah kita menjaga kebersihan tandas awam supaya ia dapat digunakan dengan selesa.

MOHAMAD ABDULLAH

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Kimia UiTM