Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Guna media sosial di pejabat tidak salah

SAUDARA PENGARANG,

TULISAN MICHELLE ONG, Pengurus Fortinet Malaysia bertajuk, Jangan sekat penggunaan media sosial di pejabat dalam ruangan Forum Utusan Malaysia, 8 Mac 2017 perlu diberi perhatian.

Tidak dinafikan laporan peningkatan penggunaan Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain rangkaian media sosial ketika waktu kerja bukanlah sesuatu yang direka.

Namun, bukan semua penggunaan media sosial berkait dengan urusan peribadi dan ada masanya berkaitan urusan kerja.

Kajian oleh Pew Research Center di Washington, Amerika Syarikat mendapati 34 peratus daripada kakitangan pejabat menggunakan media sosial ketika waktu kerja bagi ‘merehatkan minda’ sementara 27 peratus lagi menghubungi keluarga dan rakan sekerja mereka.

Baki 39 peratus menggunakan media sosial ketika waktu kerja untuk perkara berkaitan urusan dan tugas di pejabat.

Kajian itu juga mendapati 24 peratus pekerja yang menggunakan media sosial adalah disebabkan ‘terpaksa’ bagi menyokong perhubungan profesional sementara 20 peratus penggunaannya bertujuan mendapatkan maklumat dengan cepat bagi menyelesaikan masalah di tempat kerja.

Alasan-alasan lain yang popular diberikan tentang penggunaan media sosial di tempat kerja adalah untuk mengenali lebih dekat tentang rakan sekerja, membina hubungan peribadi sesama rakan sekerja dan mendapatkan maklum balas daripada organisasi luar berkaitan tugasan mereka.

Bagaimanapun, penggunaan media sosial untuk mengenali lebih lanjut tentang rakan sekerja bukanlah sesuatu yang positif.

Kajian mendapati 16 peratus daripada kakitangan yang cuba mendapatkan maklumat melalui media sosial mempunyai pandangan profesional tidak memuaskan mengenai rakan sekerja mereka.

Facebook adalah media sosial paling popular digunakan bagi tujuan berkaitan kerja (19 peratus), LinkedIn (14 peratus) dan Twitter (tiga peratus).

Di Malaysia, rasanya WhatsApp menjadi keutamaan. Isu ini pernah dibangkitkan sehingga ke Parlimen terutama sekali dalam kalangan penjawat awam memandangkan kakitangan awam sepatutnya menggunakan program media Outlook IGOVUC.

Ada juga kakitangan awam yang tidak mahu dan tidak bersetuju dengan penggunaan media sosial dalam urusan kerja pejabat kerana adalah jelas media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, WhatsApp dan lain-lain adalah media perhubungan sosial, bukannya sejenis ‘media kerja’.

Bagi kakitangan awam, arahan telah dikeluarkan bahawa semua urusan berkaitan media dan alam maya perlu menggunakan 1GOVUC dan juga portal-portal kerajaan Malaysia untuk urusan berkaitan kerja dan perkhidmatan awam.

Namun, masih ada kakitangan awam yang kononnya terlebih maju menggesa penggunaan media sosial dalam urusan perkhidmatan kerja.

Tinjauan umum mendapati penggunaan media sosial oleh kakitangan awam kebanyakannya menggunakan akaun persendirian iaitu pengguna perlu membayar perkhidmatan kepada Telekom Malaysia, Celcom, Digi, Maxis dan lain-lain syarikat telekomunikasi dan bukannya dibayar oleh pihak pejabat.

Oleh itu, tidak seharusnya penjawat awam dan pekerja pejabat lain dipaksa rela untuk bersetuju dengan penggunaan media sosial untuk urusan kerja, tetapi jika untuk ‘bersosial’ memang saya sendiri pun setuju.

Ramai juga mendapati penggunaan media sosial untuk tujuan tugasan kerja di pejabat mengganggu dan menghilangkan tumpuan pekerja.

Dalam hal ini, produktiviti bukan diukur melalui masa dihabiskan kakitangan berhubung dengan aktiviti di luar tugasan kerja, sebaliknya dengan mengukur hasil kerja (output).

Walaupun dikatakan penggunaan media sosial boleh meningkatkan produktiviti kakitangan yang bertugas, adakah tugasan kerja mereka siap dan selesai, menepati masa dan mencapai tahap kualiti yang dihasratkan jika asyik melayari YouTube atau bersembang (chatting) di WhatsApp tanpa kesudahan?

Di mana sahaja anda bekerja, pasti akan ada kakitangan yang membuang masa. Sejak sebelum komputer diperkenalkan atau digunakan lagi perkara ini sudah berlaku. Permasalahan ini adalah isu pengurusan dan bukannya isu teknologi.

Pentadbir hendaklah bijak mengurus dan mentadbir permasalahan ini kecuali mereka yang benar-benar tahu dan mahir menggunakan media sosial dalam peningkatan produktiviti.

Perlu diingatkan juga, isu mengenai produktiviti juga pernah dibangkitkan ketika penggunaan telefon dan e-mel mula menjadi popular sekitar 1980-an dan 1990-an dahulu.

AZIZI AHMAD

Segambut Luar, Kuala Lumpur

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain