Amat menyedihkan sekiranya sebarang janji itu tidak ditepati setelah dapat memegang kuasa pemerintahan. Ini menggambarkan sikap tidak hormat terhadap para pengundi yang telah memberi kepercayaan melalui undi. Manifesto selalunya dibuat setiap kali tiba musim pilihan raya supaya rakyat mudah memahami segala perancangan yang bakal dilakukan sekiranya parti politik menang. Antara janji yang sering dilemparkan demi memancing undi rakyat adalah berkaitan kos sara hidup, membaik pulih ekonomi, selain janji untuk memberikan pelbagai jenis bantuan sosial dan menyediakan sistem pengangkutan awam lebih baik.

Namun amat sedih untuk diketahui, status sesebuah manifesto pilihan raya hanyalah sekadar janji manis yang tidak terikat dengan undang-undang. Ini bermakna parti politik yang membuat manifesto tidak perlu menunaikan janji dibuat setelah mereka menang pilihan raya.

Justeru, adalah penting setiap manifesto yang dibuat oleh mana-mana ahli politik atau parti ‘diikat’ dengan undang-undang supaya tindakan susulan boleh diambil sekiranya ia tidak dipenuhi. Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) disaran mengambil langkah proaktif dalam perkara ini. Pihak berkuasa ini perlu mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu manifesto pilihan raya untuk diberikan satu kuasa undang-undang. Pindaan boleh dilakukan melalui sebarang akta sedia ada seperti Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi menyelesaikan perkara ini. Sekiranya langkah ini dibuat, setiap ahli politik atau mana-mana parti akan lebih serius terhadap manifesto yang mahu dibuat agar lebih realistik serta berdasarkan fakta sahih pada masa akan datang. Melalui langkah ini juga, hak dan kepentingan setiap pengundi dapat dilindungi.

PENSYARAH USIM

Nilai, Negeri Sembilan