Dia anggap Kementerian Kewangan itu macam milik keluarga pula. Sesuka hati buat kenyataan dalam bentuk angka, ikut tanggapan dan jangkaan tanpa perancangan yang menyeluruh berdasarkan unjuran yang sahih.

Saya sentiasa mengikuti segala kenyataannya semenjak beliau memegang jawatan Menteri Kewangan. Pada hemat saya beliau tidak ada kewibawaan bagi jawatan itu.

Nampak gaya saja macam hebat sebagai orang penting dalam sistem kewangan negara. Sebelum ini dia kritik sistem percukaian cukai barang dan perkhidmatan (GST). Hasil perbandingan antara GST dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menampakkan kehebatan sistem GST lebih menyerlah.

Kelemahan SST nampak ketara. Guan Eng tidak perlu banyak bercakap untuk tujuan menghina sesiapa. Kalau sudah pegang amanah bagi pihak kerajaan, jalankan tugas anda secara profesional, berintegriti dan bermaruah.

Kerajaan Barisan Nasional dulu tinggalkan hasil kewangan negara dalam keadaan cukup kukuh. Tak ‘muflis’ pun! Tak payahlah pusing sana pusing sini, nampak syok sendiri.

 

ZULKIFLI

Beseri