Memandangkan kisahnya tular di media sosial, saya tidak pasti sama ada memang benar pemilik itu sendiri berkongsi pengalaman atau cuma satu lagi cerita palsu yang disebar menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ayat mendakwa ‘GST untuk satu cawangan sudah hampir RM4,000 sebulan’ menunjukkan peniaga ini sebenarnya membuat jualan lebih RM60,000 sebulan dari satu cawangan sahaja.

Ini bermakna untuk 10 cawangan sudah RM600,000 malah mungkin mencecah RM1 juta sebulan.

Jika pendapatan satu cawangan RM1 juta sebulan, GST cuma RM60,000, bermakna ada baki RM940,000 yang sepatutnya lebih daripada cukup untuk membayar sewa bulanan kedai, gaji pekerja mahupun dia sendiri berbelanja mewah.

Saya juga seorang peniaga dan tidak pernah ada masalah dengan GST memandangkan ianya cuma menggantikan sistem lama Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Masalah yang timbul pun cuma berkaitan hal teknikal seperti peralatan merekod dan mengira.

Jika benar kisah itu pengalaman bekas usahawan tersebut, bermakna dia tidak pernah membayar SST sebelum ini sehinggakan ‘terbeban’ dengan GST enam peratus.

PENIAGA AMANAH

Nilai, Negeri Sembilan