Dalam wawancara tersebut Subromaniam mengingatkan kita bahawa langkah memperkenalkan cukai GST itu sudah lama dirancang oleh Kementerian Kewangan bersama pegawai-pegawai kastam yang lain untuk menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Usaha itu sepatutnya telah dilaksanakan 25 tahun dahulu iaitu sewaktu diumumkan dalam belanjawan 1991 oleh Menteri Kewangan di Dewan Rakyat.

Malangnya GST terpaksa ditangguh atas sebab tekanan politik. Apa pun sebagai bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan saya amat gembira melihat cukai ini mula dilaksanakan pada 1 April 2015 bagi menampung pendapatan kerajaan yang terjejas akibat kejatuhan harga minyak petroleum serta kelembapan ekonomi dunia.

Pada tahun sebelum pelaksanaannya (2014), kerajaan telah mengambil langkah berani dengan menghapuskan subsidi petrol dan gula selepas didapati perbelanjaan atas subsidi amat membazirkan belanjawan negara.

Di samping langkah tersebut, kerajaan turut mengambil langkah mengurangkan perbelanjaan atas urusan yang kurang penting seperti perayaan, perasmian, perjalanan ke luar negara dan pembelian alat-alat pejabat.

Sesungguhnya usaha kerajaan mengurangkan perbelanjaan yang membazir ini selain berusaha meningkatkan kutipan hasil melalui GST disambut baik oleh masyarakat kewangan dan ahli ekonomi selain mendapat pujian daripada institusi antarabangsa ketika defisit belanjawan negara dilihat semakin meningkat sehingga mencecah tujuh peratus Keluaran Dalam Negara Kasar. (KDNK) Malaysia.

Alhamdulillah, dengan langkah berani yang diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak angka defisit telah mula turun ke paras 3.2 peratus KDNK pada tahun lepas dan ini memberi harapan kepada kerajaan untuk mencapai matlamat belanjawan yang seimbang atau balanced budget dalam tempoh masa empat atau lima tahun dari sekarang.

Kita harus sedar dengan peningkatan perbelanjaan kerajaan yang disifatkan sebagai fixed charges atau peruntukan tetap untuk pembayaran gaji penjawat awam dan pencen kepada yang telah bersara serta tanggungan tetap yang lain seperti pembayaran faedah hutang negara termasuk pemberian geran kepada negeri-negeri mengikut peraturan Perlembagaan, ruang untuk mengurangkan lagi perbelanjaan amatlah sempit.

Oleh itu untuk mencapai belanjawan yang sihat dan pada masa sama memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kerajaan tidak ada jalan lain kecuali perlu meningkatkan pengutipan hasilnya dengan mengemaskinikan sistem percukaiannya.

Justeru, kerajaan perlu bertegas dalam melaksanakan GST ini dengan memastikan kutipannya mencapai matlamatnya iaitu melebihi jumlah yang dikutip dulu di bawah sistem SST.

Saya juga yakin pihak kastam mampu menunaikan tanggungjawab ini dengan berkesan kerana para pegawainya telah didedahkan dengan sistem percukaian atas penjualan barangan dan perkhidmatan termasuk kedai-kedai makan sejak empat puluh tahun pelaksanaannya.

Apa yang boleh dikatakan, GST ini adalah sistem cukai penggunaan yang lebih lengkap dan efisien.

Sebab itu banyak negara Barat, Asia dan rata-rata negara lain lebih berminat melaksanakan GST apabila mereka mendapati pelaksanaan cukai tersebut sebagai alat pengutipan hasil adalah amat berkesan kepada hasil negara. Malah rakyat asing pun perlu membayar cukai itu apabila membeli-belah atau makan di restoran.

Malaysia bernasib baik kerana kerajaan kita telah mengambil beberapa langkah awal yang berani dengan melakukan transformasi dalam beberapa bidang iaitu sektor bank, pengurusan hasil dan perbelanjaan kerajaan, sektor korporat dan perkhidmatan awam.

Hasilnya, ekonomi Malaysia dilihat mampu berkembang dengan paras melebihi empat peratus, dan itu lebih baik daripada banyak negara asing.

TAN SRI MOHD. SHERIFF MOHD. KASSIM

Bukit Damansara, Kuala Lumpur