Tindakan peniaga di R&R mengenakan GST menimbulkan persoalan. GAMBAR HIASAN

BARU-BARU ini saya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, dan singgah di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Pagoh untuk makan tengah hari. Gerai makanan dan gerai minuman adalah berasingan.

Sewaktu saya mengambil sebotol air mineral sejuk dari peti ais, saya dapati di setiap botol tersebut ditampal tanda harga RM1.06. Kemudian saya beratur untuk membayarnya. Ketika itu saya nampak di belakang kaun­ter bayaran ditampal satu notis ditulis ‘semua harga dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) 6 peratus’.

Sebagai mematuhi syarat pembelian, saya hulurkan RM2.00 kerana saya tidak ada duit syiling enam sen. Setelah pekedai menerima duit itu, dikembalikan baki sebanyak RM1.00 sambil berkata “tak apalah, tak ada duit kecil”. Adakah ini bermaksud, jika saya ada duit kecil maka harganya RM1.06 sen?

Kejadian yang saya alami nampaknya kes terpinggir kerana nilai urusniaga amatlah kecil iaitu enam sen sahaja. Tujuan penjual berbuat demikian mungkin satu teknik promosi untuk mengatakan bahawa di gerainya menjual murah tanpa mengenakan GST. Tapi persoalannya adalah besar.

Antaranya, adakah peniaga kecil tersebut layak menampal notis GST enam peratus di dalam gerainya dan adakah nilai jualan gerai itu melebihi RM500,000”.

Sebagai mana yang diketahui, jika peniaga yang layak tetapi tidak berdaftar di bawah GST akan dikenakan hukuman. Bagaimana pula sebaliknya jika peniaga yang tidak layak berdaftar di bawah GST tetapi mengambil kesempatan menampal notis GST enam peratus?

Sewaktu pembelian, saya tidak diberi resit pembelian walaupun ada notis dari pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang mengatakan “Tanpa resit Pembelian Adalah Percuma”.

ZAMANI OTHMAN

Pesara, Kota Tinggi, Johor