Kebanyakan ahli ekonomi dan penggubal dasar menjangkakan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berpotensi untuk memberi tekanan kepada penurunan tingkat harga. Antara faktor yang menjurus ke arah jangkaan itu yang pertama, sistem percukaian GST mengurangkan kos pengeluaran berbanding dengan amalan sistem percukaian SST (cukai jualan dan perkhidmatan).

Kedua, pengenalan kepada pembekalan berkadar sifar bagi beberapa jenis makanan negara. Malah hasil kajian impak GST yang dijalankan oleh pasukan penyelidik daripada Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (IKDPM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) turut mendapati pelaksanaan GST berpotensi menurunkan tingkat harga barangan dan perkhidmatan sebanyak 4.4 peratus.

Namun, realitinya pada masa ini harga barangan dan perkhidmatan terus menunjukkan peningkatan dan bercanggah dengan jangkaan ahli ekonomi dan penggubal dasar. Petunjuknya, indeks harga pengguna (IHP) iaitu kayu pengukur kepada peningkatan kos perbelanjaan barangan dan perkhidmatan isi rumah menunjukkan peningkatan ketara bagi perbelanjaan ke atas kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

Antara Disember 2014 dan Disember 2015, IHP telah meningkat sebanyak 2.7 peratus dan 53 peratus daripada peningkatan tersebut disumbangkan oleh peningkatan dalam kos perbelanjaan ke atas kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol. Persoalannya mengapa berlaku sedemikian?

Pertama, model yang dibangunkan untuk menilai impak GST telah mengandaikan bahawa keseluruhan firma atau pertubuhan perniagaan patuh sepenuhnya kepada sistem GST. Perbezaan dalam jumlah pematuhan akan mempengaruhi perbezaan dalam tingkat harga. Ketika kajian impak GST dijalankan hanya 34 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan yang berdaftar di bawah sistem GST.

Kedua, kejatuhan nilai ringgit telah menyebabkan kos import bahan mentah menjadi lebih mahal dan seterusnya mempengaruhi tingkat harga barangan dan perkhidmatan. Ekonomi Malaysia secara keseluruhannya bergantung sebanyak 19 peratus kepada import bahan mentah manakala sektor pemprosesan makanan pula bergantung sebanyak 9 peratus.

Akibat daripada kejatuhan nilai ringgit, sebahagian kos pengeluaran yang menjadi lebih murah ekoran kesan daripada pelaksanaan GST tidak dapat mengimbangi kesan langsung dan tidak langsung akibat daripada peningkatan kos import.

Yang terakhir adalah kesan berganda daripada dasar-dasar yang cenderung untuk menekan kenaikan harga seperti pengenalan upah minimum dan rasionalisasi subsidi petroleum. Persoalannya, masih ada ruangkah untuk rakyat menikmati penurunan tingkat harga makanan pada masa hadapan? Adakah penglibatan Malaysia di dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mampu memberi manfaat kepada jumlah pembekalan makanan?

Mungkinkah penglibatan secara aktif oleh syarikat milik kerajaan (GLC) dalam sektor pertanian dan pemprosesan makanan diperlukan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dengan harga yang murah? Ringkasnya, persoalan-persoalan seperti ini tidak mudah untuk dijawab dan memerlukan kepada kajian yang lebih mendalam.

DR. MOHD YUSOF SAARI

IKDPM, UPM