Selaku Pengerusi Lembaga Kelayakan Profession Undang-Undang (LPQB), Tommy Thomas seharusnya bertindak adil dan saksama dengan memberikan pengiktirafan penuh LPQB kepada program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) agar kita boleh menyaksikan graduan program dari IPTA ini tidak perlu lagi menduduki peperiksaan CLP untuk mengamalkan undang-undang di negara ini.

USIM telah bertahun lamanya berusaha untuk mencapai pengiktirafan penuh ini. Banyak siri lawatan ke fakulti oleh panel LPQB berserta semakan dan pematuhan dokuman-dokumen yang ketat bagi memastikan USIM dapat menyertai IPTA lain seperti UUM, UNISZA yang baru memperoleh pengiktirafan penuh LPQB dan IPTA lain seperti UM, UKM, UiTM dan UIA.

Peguam Negara Tommy Thomas tidak seharusnya menggunakan alasan bahawa ada beberapa universiti di United Kingdom (UK) yang menerima UEC sebagai syarat kemasukan ke program undang-undang mereka. Maka graduan yang bersijil UEC harus diberi kelonggaran untuk menduduki CLP. Jika ini logik yang digunapakai beliau, saya rasa program undang-undang di USIM yang sememangnya berasaskan undang-undang negara wajar diiktiraf sepenuhnya.

Justeru, Pemuda UMNO mendesak agar Peguam Negara Tommy Thomas untuk berlaku adil dan mempertimbangkan dengan serius untuk program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang USIM diberikan pengiktirafan penuh dan memastikan syarat tambahan bagi graduan dari sistem UEC iaitu sekurang-kurangnya lima Kepujian di peringat Sijil Pelajara Malaysia (SPM), O-Levels atau setara yang diperoleh dalam satu peperiksaan yang sama.

Farhan Khairuddin

Exco Biro Akademik & Mahasiswa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Graduan jurusan Undang-Undang Universiti Awam.