Dengan alasan sekadar mencari ‘rezeki halal’, gimik mempromosikan gaya hidup songsang Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) menjadi taruhan tanpa menghiraukan implikasi terhadap sistem sosial orang Melayu dan umat Islam.

Dengan sokongan daripada golongan liberal, berfikiran terbuka, pejuang hak asasi ala Barat mahupun jenis mempunyai ‘toleransi tinggi’, maka perniagaan jenama pondan (lelaki transgender bukannya khunsa) kini maju dengan pantas.

Lebih ‘membanggakan’, konsep jenama golongan songsang itu menjadi contoh untuk golongan gay, lesbian, biseksual, pelacur, gigolo, seks bebas dan entah apa lagi golongan songsang di negara ini.

Lebih menjelikkan apabila ada media hiburan menggunakan perkataan seperti ‘berkat rezeki’ bagi menggambarkan kemajuan perniagaan jenama songsang ini.

Adakah sesuai perkataan berkat, rezeki mahupun halal digunakan untuk menggambarkan sejenis perniagaan mempromosikan sesuatu yang ditegah dan haram dalam Islam?

Apabila ditegur dituduhnya suka kecam semua perkara dan terlalu ekstrem menterjemah agama sedangkan perkara ini sesuatu yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam dan budaya Melayu malah sudah diceritakan Allah mengenai nasib kaum Nabi Lut AS.

Jika penganut agama lain mahu hidup dengan cara LGBT, itu hak mereka mengikut pegangan agama masing-masing dan selagi mana tidak dipromosikan secara terbuka kepada orang Melayu serta masyarakat umum di negara ini.

Namun, apabila anak Melayu Islam pula mempromosikan sesuatu yang orang bukan Islam sendiri tidak berani guna sebagai satu jenama, adakah pihak berkuasa dan kita umat Islam cuma tutup mata?

Padamkan api dalam sekam ini sebelum menjadi besar marak supaya cucu cicit kita tidak merana disebabkan kegagalan generasi sekarang bertindak.

DR. KAMARUL AKMAL

Muar, Johor