Perhimpunan ini amat dinantikan terutama oleh generasi muda dalam UMNO tentang hala tuju dan arah perjuangan UMNO.

Amat besar harapan ahli Pemuda UMNO seluruh negara melihat iltizam dan semangat kepemimpinan UMNO di bawah pentadbiran Datu Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO yang baharu mengoptimumkan segala kepakaran, kebolehan dan semangat orang muda dalam kalangan ahli Pemuda demi menentukan survival perjuangan UMNO.

Sewajarnya perhimpunan kali ini menetapkan supaya kelebihan menjadi ketua UMNO bahagian bukan syarat utama menjadi calon pilihan raya.

Ketika ini, boleh dikatakan ramai bakat muda UMNO sama ada menjadi ketua pemuda atau sebagai ahli biasa berlatar belakangkan akademik yang baik dan memiliki sifat kepemimpinan hebat.

Melihat kepada inilah sewajarnya UMNO perlu mencari dan meletakkan bakat -bakat muda sebagai pertaruhan mereka pada PRU-15.

Jika kita melihat sejarah Parti Golkar Indonesia selepas reformasi Mei 1998, pucuk pimpinan baharu mereka giat dengan proses pengkaderan hingga menghasilkan tokoh-tokoh muda dalam parti dan ini terbukti berjaya.

Proses rejuvenasi dan pengkaderan di dalam UMNO perlu digiatkan dalam usaha mencari pelapis pemimpin yang benar-benar berjiwa UMNO.

Fenomena pemilihan Pemuda pada Jun lalu menyaksikan 217 orang bertanding bagi mengisi 20 tempat di dalam Exco Pemuda menunjukkan bahawa kecenderungan ahli Pemuda dalam mengembalikan maruah parti ini amat memberangsangkan.

AHLI AKAR UMBI PEMUDA

Kuala Lumpur