GEJALA buli bukan sahaja boleh berlaku di sekolah, malah tempat lain seperti kolej atau universiti. GAMBAR HIASAN

Pembuli selalunya terdiri dari golongan kanak-kanak atau remaja yang bersifat mudah marah dan agresif. Mereka akan berasa seronok dan berpuas hati apabila melihat mangsa dalam keadaan takut setiap kali bertembung. Pembuli juga terdorong untuk menunjukkan kuasa dan bangga apabila dapat menakutkan orang lain. Malah, pembuli biasanya terdiri daripada keluarga yang bermasalah kerana kurangnya perhatian dan kasih sayang serta keterbukaan yang amat terbatas dalam kalangan mereka. Hal ini menyebabkan ramai pelajar yang terlibat dalam gejala buli selepas mereka menyaksikan sikap agresif ibu bapa terhadap adik-beradik, rakan-rakan bahkan kaum keluarga mereka sendiri.

Mangsa buli pula merupakan seorang insan yang lemah. Mereka yang melihat aktiviti ini juga tidak sepatutnya menyembunyikan kejadian buli dan seharusnya segera melaporkan kepada guru, warden dan ibu bapa.

Antara faktor berlakunya buli adalah berkait rapat dengan kelemahan dan keruntuhan institusi kekeluargaan. Buktinya, sikap ibu bapa di rumah yang menjadi ikutan anak-anak terhadap penggunaan bahasa kasar dan penghinaan yang berterusan. Hal ini sekali gus menyebabkan pelajar tersebut memilih untuk melepaskan geram terhadap pemangsa akibat kurangnya kawalan, kasih sayang dan perhatian di rumah.

Selain itu, kawalan disiplin yang longgar di sekolah juga mendorong berlakunya gejala buli ini. Pihak sekolah yang kurang peka dan tidak mengambil peduli dengan kelonggaran tersebut telah membuka ruang kepada pelajar untuk melakukan gejala sosial seperti buli. Malah, pelajar-pelajar yang sering menjadi mangsa pembuli adalah terdiri daripada pelajar junior apabila mereka dipaksa melakukan kerja-kerja seperti membasuh dan menggosok pakaian senior, meminta duit, melakukan perbuatan yang memalukan serta dipukul tanpa sebab. Pembuli juga dapat menunjukkan keberanian mereka dan mengambil peluang yang ada untuk melakukan apa sahaja secara bebas tanpa perasaan takut.

Seterusnya, kurang penghayatan nilai-nilai moral dan agama juga menyebabkan berlakunya gejala buli. Hal ini tidak akan terjadi sekiranya pelajar mempunyai nilai moral agama yang tinggi. Malah mereka juga tidak akan mudah terpengaruh untuk melibatkan diri dalam gejala negatif. Tambahan pula, kekurangan penghayatan nilai moral dan agama juga dapat membentuk remaja dengan akhlak yang tidak baik seperti melepak, bergaduh serta membuli.

Oleh itu, semua pihak harus bertanggungjawab membendung gejala ini dari terus berleluasa. Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Janganlah ibu bapa hanya berkelakuan baik di hadapan anak-anak sahaja sedangkan mereka juga sering mengejek serta menghina orang lain. Ibu bapa juga seharusnya mengambil perhatian tentang keadaan anak-anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak rasa diabaikan.

Di samping itu, pelajar juga harus berganding bahu bersama pihak sekolah dalam membanteras gejala buli ini. Misalnya, pelajar yang ternampak kes buli mahupun menjadi mangsa buli haruslah segera melaporkan kepada guru supaya gejala ini dapat diatasi dengan segera. Jika pemangsa hanya berdiam diri, gejala ini akan semakin bertambah dan meningkat dari hari ke hari.

Seterusnya, pihak kerajaan juga berperanan aktif dalam membendung gejala ini. Kerajaan perlu bergabung dengan agensi-agensi tertentu untuk mengadakan kempen kesedaran berkaitan gejala buli.

NUR AMALINA 
MOHD. OSMAN

Universiti Sains Islam Malaysia