Walaupun anak-anak saya boleh dikatakan ‘menjadi’, tetapi bimbang bila melihatkan sesetengah rakan sekerja mahupun rakan sekelas mereka yang jelas tiada pegangan agama mahupun moral.

Anak yang bekerja di sebuah agensi kerajaan berkongsi kes tangkapan seorang rakan sekerja yang juga isteri orang ditangkap khalwat dengan bos sendiri tetapi cuba dirahsiakan.

Anak di universiti pula menceritakan beberapa orang anak gadis menggadai maruah diri kepada teman lelaki, pensyarah malah ada yang mengajak rakan sekelas menjadi ‘gadis escort kelas atasan’.

Saya tidak pasti apa maksudnya tetapi rasanya berkaitan dengan pelacuran.

Tidak kurang juga yang gagal dalam pelajaran menyertai kumpulan lumba haram, mengedar dan menghisap dadah, judi dalam hutan, kaki mabuk dan menghidu gam.

Waktu berpisah daripada ibu bapa untuk memasuki universiti nampaknya menjadi ‘tempoh masa’ kritikal masalah sosial dan sikap liar ini bermula sama ada disebabkan kurangnya kawalan atau pengaruh rakan serta persekitaran.

Saya cukup khuatir masa depan cucu-cicit kita sama ada perihal agama dan moral masih menjadi pegangan atau akan ikut sepenuhnya cara Barat yang menghalalkan segala macam cara hidup songsang atas prinsip hak asasi.

Melihatkan perjuangan lesbian, gay, homoseksual dan transgender (LGBT) juga semakin mendapat tempat di negara ini selepas tumbangnya kerajaan terdahulu, saya tidak pasti kepada siapa lagi orang tua seperti saya dapat mengadu nasib.

Kadangkala saya fikir lebih baik dihantar anak-anak ke sekolah tahfiz demi mengukuhkan iman dan ilmu agama sebelum diserap unsur negatif dunia moden tetapi itu tidak menjamin anak-anak akan terselamat daripada kejahatan orang lain.

Setiap hari saya berdoa agar Tanah Melayu ini terus dilindungi daripada maksiat dan kemurkaan tetapi kita perlu juga ada usaha ke arah mempertahan nilai-nilai murni, batasan agama dan disiplin diri untuk generasi akan datang.

HAJI KHALID ISHAK

Alor Setar, Kedah