PANDELELA RINONG bukan sebarang atlet. Pada usia 23 tahun, ratu terjun negara itu bersama Cheong Jun Hoong menghadiahkan pingat perak yang juga pingat pertama buat Malaysia dalam acara 10 meter platform berirama pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016, di Brazil, pada 10 Ogos lalu.

Empat tahun lalu, Pandelela berasal dari Kuching, Sarawak juga pernah mencatat sejarah negara apabila menjadi atlet wanita pertama Malaysia meraih pingat gangsa dalam acara terjun 10 meter individu di Sukan Olimpik London 2012.

Tahun lepas, atlet kelahiran Bau itu turut menyumbang pingat gangsa acara 10 meter platform dalam Kejohanan Terjun Siri Dunia 2015 di Windsor, Kanada, manakala pada 2009, Pandelela bersama Leong Mun Yee meraih pingat gangsa di Kejohanan Dunia di Rome, dan pada Ogos 2010 Olimpik Remaja di Singapura, beliau mendapat dua pingat perak.

Pada hemat saya, kejayaan demi kejayaan diraih Pandelela di peringkat antarabangsa itu seharusnya mendapat pengiktirafan sewajarnya termasuk dianugerahkan gelaran ‘Datuk’ apatah lagi beliau juga berkongsi rekod selaku pemenang terbanyak sebagai Atlet Terbaik seperti mana Datuk Nicol David.

Buat kali ketiga Pandelela dianugerah Atlet Terbaik oleh Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 Plus bagi edisi 2015, selepas 2010 dan 2012, manakala Nicol pula menerima anugerah sama pada 2005, 2007 dan 2014.

Kewajaran gelaran ‘Datuk’ itu memandangkan jasa anak pasangan Pomg Joheng dan Hartini Lamin yang terserlah setelah mengharumkan nama negara di puncak dunia.

Jika jaguh badminton negara, Lee Chong Wei dan Nicol selaku ratu skuasy negara diberi gelaran ‘Datuk’ kerana jasa-jasa mereka menaikkan nama negara di dalam arena sukan di peringkat antarabangsa, mengapa tidak Pandelela?

Sekiranya Pandelela dirasakan belum sesuai untuk menerima gelaran tersebut, setidak-tidaknya anugerah ‘Datuk’ diberikan kepada bapanya terlebih dahulu yang juga banyak berjasa dan berkorban demi negara.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL

Ampangan, Seremban