Malaysia tidak terkecuali berhadapan dengan masalah ini. Golongan gelandangan di negara ini terdiri daripada pelbagai bangsa serta agama dan kebanyakannya orang Melayu beragama Islam. Terdapat juga kaum Cina dan India.

Sebagai masyarakat prihatin, sewajarnya golongan ini diberikan bantuan kerana mereka boleh dianggap sebagai golongan tidak bernasib baik. Apa pun secara umumnya masalah golongan gelandangan di Malaysia sering mendapat perhatian daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk juga pusat-pusat zakat.

Sikap ini perlu dikekalkan demi membantu orang yang berada dalam kesusahan. Malah usaha ini juga adalah satu pekerjaan yang amat dituntut oleh Islam atas nama sedekah. Selain NGO dan pusat zakat, dalam kita membantu golongan ini, pihak individu juga tidak terlepas daripada tanggungjawab itu.

Oleh itu, golongan individu juga digalakkan membantu gelandangan, sekurang-kurangnya memberi sumbangan dalam bentuk makanan atau pakaian. Berikan juga kata-kata motivasi agar mereka sentiasa bersemangat untuk meneruskan kehidupan.

AHMAD ZAHID IBRAHIM
Universiti Sains Islam Malaysia