Gelaran ‘budak WeChat’ yang merujuk kepada penggunaan bahasa Melayu yang tunggang-langgang dan sikap tidak matang secara tidak langsung menggambarkan rapatnya aplikasi mesej itu dalam kalangan remaja termasuk di bangku sekolah.

Kes terbaharu di Seri Iskandar, Perak pada 1 Julai lalu apabila seorang remaja perempuan berusia 19 tahun menjadi mangsa rogol secara bergilir-gilir oleh tiga lelaki yang juga kenalan melalui WeChat.

Dua suspek yang ditahan polis setakat 4 Julai berusia 20-an. Mangsa dikatakan mengenali seorang daripada suspek melalui WeChat. Mangsa dijemput kenalan itu bersama seorang lagi suspek dari rumah pada jam 12 tengah malam, 30 Jun lalu untuk melepak di Ipoh.

Sebelum ini pun, banyak kali kita mendengar kes rogol melibatkan kenalan WeChat berlaku terhadap gadis-gadis belasan tahun termasuk yang masih menuntut di sekolah menengah.

Usia yang amat mentah dengan nafsu yang bergelora mendedahkan remaja perempuan mudah terpedaya dengan pujuk rayu lelaki. Tidak seperti media sosial lain, WeChat mempunyai fungsi nearby yang berupaya mengenal pasti jarak individu dengan pengguna berdekatan.

Kepada mereka yang ada aplikasi itu boleh lihat dan nilai sendiri bukan sedikit status pengguna WeChat terdedah secara terbuka mengajak untuk melakukan seks rambang termasuk seks sejenis dengan sebahagian besar terdiri daripada anak-anak remaja.

Lebih mengaibkan apabila sejumlah besar adalah muka-muka anak Melayu. Jelas WeChat lebih mendedahkan remaja kepada gejala tidak sihat berbanding media sosial lain.

Di Rusia, aplikasi mesej milik gergasi internet China, Tencent sudah disekat menerusi pembekal perkhidmatan telekomunikasi tempatan. Memang bukan salah WeChat sebagai platform komunikasi tetapi aplikasi itu lebih banyak mengundang kesan buruk daripada yang baik.

Memanglah jika WeChat disekat aksesnya di negara kita, remaja boleh menggunakan platform komunikasi lain seperti Telegram, WhatsApp, Viber, Twitter dan FB Messenger tetapi WeChat ternyata lebih mudah disalah guna untuk aktiviti tidak bermoral bahkan jenayah kesan daripada fungsi nearby itu.

Sehubungan itu, kerajaan diseru mengambil langkah menyekat sahaja akses kepada aplikasi mesej tersebut yang lebih banyak merosakkan akhlak remaja Malaysia. Sampai bila kita harus mendengar lebih banyak lagi kes remaja yang dirogol oleh kenalan WeChat?

KAMAL JAMAL

Kampung Baru, Kuala Lumpur