Masalah sosial khususnya aktiviti seksual remaja bukan hanya melibatkan orang Melayu malah komuniti Cina, India dan lain-lain bangsa juga berdepan situasi serupa.

Lihat sahaja pendedahan Ketua Jabatan Aduan dan Khidmat Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong mengenai seorang lagi remaja Cina yang diugut susulan berkongsi gambar bogelnya dengan lelaki tidak dikenali.

Lebih mengejutkan, perbuatan itu bermula sejak mangsa berusia 14 tahun sekitar 2012 sehinggakan pernah mahu membunuh diri akibat tertekan kerana gambar dihantar kepada keluarganya.

Chong turut mendedahkan kes tersebut adalah yang ke-11 seumpamanya untuk tahun ini sahaja dan setiap tahun banyak kes-kes sama diadukan kepada beliau oleh remaja Cina.

Kes itu bermula melalui perkenalan dalam Facebook tetapi banyak platform lain turut menyumbang kepada gejala seksual remaja Malaysia seperti WeChat, Tinder, Tumblr, Bigo Live, group lucah WhatApp dan banyak lagi.

Bukan sahaja platform media sosial tersebut menjadi tempat menyebar gambar dan video lucah, golongan pelacur kini menggunakan teknologi digital sebagai ‘sarang’ pelacuran baharu untuk memberi ‘perkhidmatan’ terus ke rumah mahupun hotel.

Kebanyakan pelanggan pelacur mahupun penggemar bahan lucah itu adalah remaja termasuk mereka yang masih bersekolah. Persoalannya, apa yang dilakukan kerajaan khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)?

Kisah perkahwinan bawah umur diberi perhatian penuh, bagaimana pula gejala sosial remaja kita termasuk aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang kini bergerak secara terbuka?

GURU AGAMA

Rawang, Selangor