Jika bertuah, keluarga kita mungkin tidak terpalit gejala kuning seperti zina, buang bayi, judi, arak, lumba haram mahupun gaya hidup songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Namun, timbul pula masalah lambat bertemu jodoh sama ada anak dara tua (andartu) atau anak teruna tua (bujang lapuk).

Laporan akhbar baru-baru ini mendedahkan anak muda sekarang, khususnya wanita, lebih gemar berkahwin lewat kerana menumpu perhatian kepada kerjaya.

Faktor ‘putus cinta’ juga memainkan peranan apatah lagi rata-rata generasi muda menolak daripada dijodohkan keluarga dengan pasangan tidak dikenali.

Isu gejala lelaki gay dan transgender (pondan) serta perkahwinan dengan wanita warga asing yang terus meningkat saban tahun, apalah agaknya nasib anak gadis tempatan dalam mencari jodoh. Belum dikira masalah hantaran tinggi melangit.

Bunyi seperti isu remeh tetapi jangan lupa dari gadis-gadis dan andartu inilah lahirnya generasi pewaris bangsa Melayu.

Menteri dan kerajaan nampaknya tidak ambil pusing isu ini. Oleh itu, penyelesaiannya terletak pada ibu bapa dan tuan punya badan.

Saya cuma berharap dalam tempoh 20 tahun lagi masih ada muka-muka Melayu tulen.

BEKAS ANDARTU

Shah Alam