Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) merangkap Setiausaha Lembaga Pengampunan Negeri Selangor, Zamani Ahmad Mansor berkata, baginda selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan Negeri Selangor mendapati bilangan kes jenayah pengedaran dadah membabitkan golongan berkenaan yang dibawa kepada lembaga itu amat tinggi.

Menurut Zamani Ahmad, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam laporannya menyebut ujian air kencing yang dijalankan mendapati seramai 1,829 daripada 370,285 pelajar dari 178 sekolah disahkan positif dadah.

Sebenarnya kegusaran Sultan Selangor, yang dizahirkan melalui satu kenyataan susulan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Selangor kali ke-78, amat berasas kerana masalah dadah akan mendatangkan implikasi negatif kepada golongan muda dalam negeri Selangor.

Kita mungkin boleh menarik nafas lega apabila statistik AADK menunjukkan jumlah penagih dadah yang dikesan secara keseluruhan telah menurun sebanyak 16 peratus tahun lepas berbanding 2016. Jumlah penagih baharu yang dikesan pada 2017 pula mencatatkan penurunan sebanyak 19.6 peratus manakala penagih berulang pula mencatatkan penurunan 5.5 peratus.

Ketagihan dadah merupakan masalah nombor satu Malaysia selama tiga dekad, terutamanya dalam kalangan mereka yang berusia antara 15 dan 40 tahun. Berdasarkan statistik AADK, kumpulan ini merangkumi 80 peratus penagih dadah di negara ini.

Usaha menghapuskan ancaman dadah juga penting dalam usaha memerangi jenayah kerana statistik polis menunjukkan 30 hingga 40 peratus penagih dadah terlibat dengan jenayah.

Memandangkan kunci untuk memerangi dadah terletak pada pencegahan, strategi peringkat kebangsaan diperlukan untuk melibatkan mereka di rumah, dalam masyarakat serta di tempat kerja untuk membantu membasmi ancaman dadah.

Peranan aktif ibu bapa dan masyarakat dalam memerangi penyalahgunaan dadah juga penting dan mesti dipergiatkan sekiranya negara ingin memastikan ketagihan dadah dalam kalangan remaja dan belia, termasuk pelajar, tidak bertambah buruk.

Ia juga selaras dengan tema sambutan Hari Anti Dadah Kebangsaan ke-35 tahun ini iaitu ‘Komuniti Kita Tanggungjawab Kita’.

Atas dasar keprihatinan kepada penglibatan golongan remaja dalam dadah, saya ingin memberikan nasihat dan cadangan berikut:

  • Golongan belia dan remaja perlu belajar untuk menghadapi berbagai tekanan hidup harian tanpa mengambil dadah. Sebaliknya, mereka boleh melibatkan diri di dalam sukan, kesukarelawan serta aktiviti masyarakat dan yang berfaedah;
  • Mereka mesti bijak menangkis pengaruh rakan sebaya yang cuba mempengaruhi untuk melakukan perkara-perkara yang mereka tahu salah, tidak baik dan yang boleh membinasakan diri;
  • Mereka perlu diberi didikan mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan penagihan melalui seminar, bengkel, bahan bacaan dan penerbitan yang berkaitan. Mereka seharusnya menyebarkan maklumat tentang bahaya dadah kepada rakan-rakan. Usaha untuk membentuk gaya hidup sihat dan bebas dadah memerlukan penekanan secara berterusan.
  • Mereka perlu memupuk keberanian, disiplin, rasa tanggungjawab dan harga diri untuk membina masa depan yang lebih baik untuk mereka dan juga negara dengan menolak dadah.

Peringatan keras yang dikeluarkan Sultan Selangor supaya sekalian rakyat lebih berwaspada dan menghindarkan diri daripada aktiviti penyeludupan, pengedaran, penyalahgunaan najis dadah perlu diberikan perhatian kerana kesannya amat buruk bukan sahaja kepada individu belia terbabit tetapi juga kepada keluarga serta masyarakat sekelilingnya.

Rakyat Malaysia perlu memberikan sokongan padu terhadap harapan Sultan Selangor dengan memainkan peranan memastikan tiada tolak ansur dalam menangani gejala dadah selaras dengan impian setiap kita untuk membentuk Malaysia baru yang bebas daripada dadah!

TAN SRI LEE LAM THYE

Naib Pengerusi Kanan MCPF