Kedua-dua juruacaranya pula begitu keletah sebelum menjemput peserta. Secara tidak langsung kadang-kadang menggunakan bahasa Melayu yang tidak betul seperti ‘para-para peserta’. Sedangkan penggunaan sebenarnya adalah ‘para peserta’.

Sekian banyak lagi perkataan yang kurang sesuai digunakan sebagai seorang Melayu.

Kita amat sedih apabila terdapat para hakim menggunakan bahasa Melayu bercampur bahasa Inggeris dalam setiap rancangan tersebut. Penggunaan bahasa rojak ini amat memilukan hati kita sebagai rakyat Malaysia yang mencintai bahasa rasmi negara. Ternyata sekali rancangan tersebut meracuni bahasa negara ini.

Sebenarnya, di sinilah berpunca pencemaran bahasa kita. Anak-anak muda atau para penonton terikut-ikut atau terbawa-bawa penggunaan bahasa rojak itu dalam penghidupan mereka sehari-hari. Penggunaan bahasa rojak itu semakin meluas di negara kita sekarang. Jika pihak kerajaan terutama Kementerian Pendidikan berusaha memartabatkan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan kita sekalipun, ia akan menjadi sia-sia.

Kerana itu kita berharap pihak yang bertanggungjawab terhadap penyiaran rancangan televisyen wajar benar meneliti dan mengambil peranan menegur dan menasihatkan pihak tersebut agar tidak sewenang-wenangnya meracuni atau menggadaikan maruah bahasa bangsa kita. Bahasa adalah identiti dan jati diri sesebuah bangsa dan negara.

PENCINTA BAHASA.

Kangar, Perlis