Abdul Wahid adalah seorang profesional Melayu yang telah banyak berjasa bukan sahaja kepada PNB bahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain.

Ini ekoran daripada tindakan kerajaan Pakatan Harapan yang mahu menyusun semula kepimpinan dan pengurusan dalam syarikat-syarikat GLC.

Sekali imbas tindakan ini memang dilihat tidak adil terutamanya terhadap mereka yang terdiri daripada ahli profesional dan bukannya ahli politik tulen.

Ada juga menyatakan bahawa mereka telah menjadi ‘mangsa’ percaturan politik. Sesungguhnya apa yang kita lihat berlaku adalah lumrah apabila pemegang kuasa atau tampuk kerajaan bertukar tangan.

Bagi mereka yang dilantik atas dasar politik, mereka memang wajib berhenti. Lebih baik dilakukan sebelum diarah berhenti. Bagi mereka yang profesional, janganlah melihat perkara ini sebagai satu penganiayaan.

Mereka harus sedar apabila dilantik mengetuai sesebuah syarikat GLC itu, mereka dibayar gaji lumayan di samping bonus dan pelbagai kemudahan lain yang jumlahnya mencecah ratusan ribu bahkan jutaan ringgit setahun.

Apa yang mereka telah terima hingga ke hari ini lebih daripada cukup untuk menyara hidup hingga ke anak cucu. Mereka patut bersyukur dan jauh sekali mengeluh.

Bagi mereka yang didapati menyalahgunakan kedudukan atau kuasa untuk rasuah bagi kepentingan diri sendiri, mereka memang patut dibuang dan dihukum. Salah laku cukup banyak berlaku dalam syarikat GLC sebelum ini, berbagai bentuk penyelewengan yang kadangkala terlepas pandang oleh pihak berwajib.

Satu perkara yang dapat saya lihat dalam tindakan kerajaan baharu ini ialah yang diberhentikan atau dibuang kerja selain ahli politik dari UMNO adalah golongan profesional Melayu.

Kita harap pihak kerajaan akan menggantikan mereka ini juga dengan orang Melayu profesional dan berintegriti yang cukup ramai menunggu di luar sana. Jangan pula katakan Melayu profesional tidak ada.

Kerajaan jangan sampai lupa untuk membangunkan negara dan hidup rakyat kerana terlalu asyik mendedahkan penyelewengan lampau.

DATUK AHMAD SIDEK

Petaling Jaya