Untuk makluman, Klinik Pergigian di Fakulti Pergigian USIM sudah beroperasi selama tujuh tahun dan menawarkan pelbagai rawatan asas dan rawatan kepakaran pergigian kepada masyarakat berbilang kaum di sekitar kawasan Pandan Indah.

Berhubung kejadian pada 15 September 2016 itu, pihak kami difahamkan pada hari berkenaan, berlaku gangguan teknikal dalam sistem e-klinikal yang menyebabkan queue management system (QMS) tidak berfungsi dan pendaftaran pesakit terpaksa dilakukan secara manual.

Diakui masalah berbangkit itu telah menimbulkan kekeliruan kepada petugas di dalam bilik rawatan yang menyebabkan pengadu tidak dipanggil untuk menerima rawatan. Sementara itu, melalui semakan semula di pihak kami juga, terdapat dua orang doktor atau pegawai pergigian yang bertugas bagi rawatan pesakit luar, dan dakwaan mengatakan tiada pegawai bertugas pada hari berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

Namun kakitangan kami hanya menyedari bahawa pengadu tidak dipanggil untuk menerima rawatan pada pukul 1 petang dan doktor bertugas telah keluar rehat. Begitupun, kakitangan kami ada mencadangkan rawatan pada sesi pukul 2 petang, namun ditolak pengadu.

Sebagai tambahan, Fakulti Pergigian sentiasa menitikberatkan dan memperbaiki mutu perkhidmatan kaunter pendaftaran dari semasa ke semasa sejajar dengan Piagam Pelanggan Fakulti Pergigian USIM, justeru kejadian yang berlaku itu amatlah dikesali.

Pihak kami memohon maaf kepada pengadu di atas kejadian yang berlaku dan akan pastikan perkara sama tidak akan berulang di masa akan datang.

PEGAWAI KLINIK

PERGIGIAN USIM

Pandan Indah