Bayi perempuan berusia dua bulan yang ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di atas sebuah tilam di ruang tamu rumah berkenaan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian leher.

Suspek berusia 32 tahun yang tidak melarikan diri ditahan polis yang tiba di kediaman berkenaan selepas menerima panggilan telefon daripada jiran wanita itu.

Hasil siasatan awal polis yang mengaitkan masalah gangguan emosi sebagai punca wanita itu tergamak membunuh anak sendiri tidaklah mengejutkan.

Ini selari dengan perangkaan didedahkan badan penyelidikan swasta pada 2015 yang mendapati setiap seorang daripada tiga penduduk Malaysia berpotensi menghidap penyakit mental.

Penyakit itu berpunca daripada tekanan perasaan akibat perubahan gaya hidup masyarakat yang lebih mementingkan kebendaan dan prestasi.

Satu kajian lain yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan pada tahun sama iaitu Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2015 juga menghasilkan keputusan serupa iaitu satu daripada tiga orang dewasa di negara ini bergelut dengan masalah mental sama ada mereka sedar atau tidak.

Kajian itu mendapati gangguan mental paling tinggi dalam kalangan remaja yang berumur antara 16 hingga 19 tahun dan individu daripada keluarga berpendapatan rendah.

Antara faktor yang menyumbang kepada gangguan mental adalah masalah kewangan, tiada pekerjaan dan tekanan di tempat kerja. Masalah lain adalah perceraian suami isteri dan penyalahgunaan dadah.

Walaupun kerajaan menyediakan perkhidmatan rawatan sakit mental, individu yang mengalami kemurungan lazimnya tidak tampil mendapatkan bantuan disebabkan bimbang digelar ‘orang gila’ berikutan sikap masyarakat yang memandang serong kepada mereka yang mempunyai sejarah penyakit berkenaan.

Sehubungan itu, saya berharap semua pihak tampil untuk mengatasi masalah berkenaan termasuk pertama, keluarga yang mempunyai individu disyaki mengalami tanda-tanda awal gangguan mental perlulah memainkan peranan bagi memastikan pesakit diperiksa oleh pakar psikiatri dan mendapat rawatan lanjut.

Orang ramai juga perlu lebih peka untuk menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan yang didapati menunjukkan tanda-tanda masalah emosi atau kemurungan. Bantulah dengan cara mendengar luahan hati mereka dan bawa mendapatkan bantuan pakar sekiranya diperlukan.

Kedua, kerajaan memberikan insentif kepada klinik swasta di seluruh negara untuk menyediakan kaunselor yang berupaya memberikan kaunseling kepada mereka yang menghadapi tekanan perasaan.

Pada masa sekarang, perkhidmatan kaunselor hanya disediakan di 671 klinik kesihatan kerajaan.

Ketiga, lebih banyak kajian harus dilakukan oleh universiti tempatan bagi mencari kaedah baharu untuk merawat pesakit mental. Teknik rawatan juga perlu dipelbagaikan dan tidak hanya menjurus kepada memakan ubat-ubatan antipsikotik.

Saya tertarik dengan kaedah terbaharu yang popular di Amerika Syarikat (AS) dan Australia yang dinamakan sebagai Access Consciousness yang dikatakan cukup berkesan untuk merawat pesakit mental.

Kaedah yang diperkenalkan oleh dua pakar, Gary Douglas dan Dr. Dain Heer melibatkan teknik urutan di 32 bahagian di kepala pesakit.

Seperti akupuntur, urutan itu dikatakan dapat membantu individu membebaskan segala emosi dan trauma yang dipendam dalam diri yang sekiranya dibiarkan akan menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan perasaan.

Saya berharap masalah gangguan mental dalam kalangan masyarakat diatasi dengan sebaik mungkin. Jangan biarkan pesakit menjadi bom jangka yang bila-bila masa boleh meletup.

GURU MUDA

Sungai Buloh, Selangor