Memandangkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia kini dipegang bumiputera Sabah sementara Timbalannya seorang Melayu, menjadi harapan besar saya bahan promosi pelancongan lama dinilai semula kesesuaiannya.

Masalah mungkin berpunca daripada menteri lama terlalu ‘memberi muka’ kepada pembikin iklan menggunakan pelakon dan model dalam kalangan satu kaum sahaja mahupun golongan Pan-Asia. Mungkin atas dasar lebih mudah bekerja dengan golongan tersebut ataupun ada unsur diskriminasi kaum lain.

Bukannya mahu mencari salah sebaliknya cuma mahu gambaran lebih realistik dalam bahan promosi pelancongan menggambarkan masyarakat majmuk terdiri daripada Melayu, India, Cina serta pribumi Sabah dan Sarawak.

Sedangkan Singapura pun mempromosikan imej majmuk dalam bahan promosi pelancongan mereka, kenapa suasana di Malaysia pula digambarkan seperti Hong Kong atau Taiwan?

Promosi makanan asyik menyebut Pulau Pinang, destinasi menarik mengutamakan China Town. Di mana paparan Little India dan perkampungan Melayu? Bagaimana pula dengan makanan ikonik nasi lemak, roti canai, teh tarik dan banyak lagi?

Berpijak di bumi nyata, jangan sampai orang lain terasa seolah-olah dianaktirikan di tanah tumpah darah sendiri. Apa salahnya promosi seimbang, bukannya akan merugikan mana-mana kaum pun.

KAKI WAYANG

Wangsa Maju