Perangkaan itu mendedahkan, pada masa sekarang terdapat 94,000 murid bukan kaum Cina belajar di SJKC. Maknanya, bagi setiap lima pelajar SJKC, ada seorang murid Melayu atau kaum lain.

Trend kemasukan murid Melayu ke sekolah Cina dijangka terus meningkat kerana minat yang kuat untuk mendapatkan pendidikan di SJKC.

Antara sebab utama murid Melayu memasuki SJKC adalah kerana ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka dapat bertutur bahasa Mandarin dengan fasih.

Kebanyakan ibu bapa kaum Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak juga yakin bahawa sekolah Cina lebih bagus dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Di samping itu, ada ibu bapa yang mempunyai persepsi bahawa murid SJKC lebih berdisiplin dan berakhlak baik. Guru-guru Cina pula dipercayai sangat rajin dan bertanggungjawab.

SJKC sebenarnya menawarkan pendidikan mengikut sukatan pelajaran sama seperti sekolah kebangsaan, cuma berlainan dari segi aliran apabila bahasa pengantar dan persekitaran budayanya adalah berbeza.

Pada dasarnya, kecenderungan meluas dalam kalangan kaum Melayu dan bumiputera menghantar anak-anak ke sekolah Cina adalah satu perkembangan positif.

Tindakan itu membuktikan kaum lain tidak lagi mempunyai prasangka buruk terhadap SJKC. Kepada pentadbir sekolah terbabit, kemasukan sebilangan besar anak kaum lain ke SJKC boleh dilihat sebagai kebanggaan pendidikan Cina kerana sekolah jenis itu berjaya memikat hati masyarakat Malaysia berbilang kaum.

Bagi saya, anak-anak Melayu di SJKC boleh memainkan peranan sebagai duta kecil bagi mewujudkan interaksi antara budaya Melayu dan Cina.

AWANG CAHAYA

Kuala Lumpur