Bagi anggota polis berpangkat rendah yang berpendapatan lebih sedikit daripada RM1,000 sebulan, misalnya skim gaji konstabel antara RM1,014 dan RM3,517 sebulan, tentulah sukar bagi mereka untuk bertahan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Anggota tidak mendapat kuarters polis tiada pilihan selain mengeluarkan sebahagian gaji untuk menyewa bilik atau rumah di bandar-bandar besar. Bagi yang tidak mampu, mereka terpaksa berkongsi rumah atau bilik yang sempit atau mencari alternatif kediaman lebih murah di pinggir bandar.

Walaupun kita tidak boleh menerima gaji rendah sebagai alasan untuk menerima rasuah, namun satu fakta diketahui umum bahawa terdapat anggota polis terlibat dengan salah guna kuasa kerana masalah kewangan.

Justeru, saya menyokong penuh gesaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad supaya kerajaan mengkaji semula skim gaji serta kebajikan anggota dan pegawai agensi penguat kuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengelakkan mereka terjerumus ke dalam kancah rasuah.

Kenaikan gaji tidak semestinya dapat menghapuskan sepenuhnya salah guna kuasa dalam PDRM atau agensi penguat kuasa undang-undang lain tetapi sekurang-kurangnya mampu mengurangkan keinginan untuk menerima rasuah. Pemantauan lebih tegas terhadap pasukan polis perlu dilaksanakan untuk membantu mencegah rasuah.

Antara tugas Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun adalah mencari jalan untuk meningkatkan kebajikan warga PDRM, termasuk menyediakan elaun dan penginapan lebih baik.

Saya berharap kediaman polis diselenggara dengan baik untuk memastikan warga PDRM dan keluarga mereka dapat hidup dalam persekitaran yang kondusif dan selamat. Ini akan membolehkan mereka berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Saya amat yakin Mohamad Fuzi sedar akan masalah itu kerana telah berkhidmat dengan PDRM sejak 1984. Selain itu, beliau perlu menumpukan usaha untuk mengukuhkan pasukan polis.

Pihak polis perlu membuang persepsi negatif orang awam terhadap tahap keselamatan negara walaupun PDRM sebenarnya telah berjaya mengurangkan 47 peratus indeks jenayah sejak Program Transformasi Kerajaan (GTP) dilaksanakan pada 2008.

Untuk membantu membuang persepsi negatif, pihak polis perlu mengukuhkan kerjasama dan interaksi mereka dengan orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

Saya percaya pengalaman luas Mohamad Fuzi ketika memimpin Cawangan Khas PDRM akan membantu beliau memenuhi kehendak orang ramai yang semakin meningkat termasuk bagi menangani kumpulan pengganas Daesh.

Beliau juga perlu mengukuhkan integriti PDRM dan menjadikannya sebuah organisasi benar-benar mantap serta profesional.

Kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa rakyat mempunyai harapan tinggi terhadap Mohamad Fuzi tetapi untuk bersikap adil, beliau mesti diberikan masa untuk menyelesaikan segala isu berkaitan.

Walaupun penting untuk KPN baharu dan pasukannya meningkatkan imej PDRM, orang ramai perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa serta menghargai kejayaan polis mengekalkan keamanan negara.

Kita semua perlu membantu polis mengurangkannya kadar jenayah hingga ke tahap orang ramai berasa selamat walaupun di mana mereka berada.

TAN SRI LEE LAM THYE
Kuala Lumpur