Kebimbangan disuarakan beliau semasa menggulung perbahasan Bajet 2018 dalam sidang Dewan Rakyat, 8 November lalu ada asasnya kerana masalah dijangka timbul apabila pihak syarikat terpaksa mengurangkan pekerja atau menutup operasi pada masa depan sekiranya pelaksanaan itu dikuatkuasakan pada 2018.

Kenyataan Rahman itu dilihat sebagai prihatin dengan nasib yang bakal dihadapi syarikat terutama dalam bidang keselamatan yang menawarkan perkhidmatan keselamatan selama 24 jam kepada pelanggan dari jabatan dan agensi kerajaan mahupun syarikat swasta.

Di pihak Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia, kami mengalami kekurangan tenaga kerja tempatan yang amat serius sekali. Walaupun dibenarkan pengambilan pengawal Nepal bekerja, masalah tetap timbul apabila pekerja asing juga menuntut bayaran sama seperti mana diterima pekerja tempatan.

Berikut adalah contoh kes bayaran gaji perlu dibayar syarikat untuk pegawai keselamatan yang dibenarkan bekerja 12 jam pada satu-satu syif atau 104 jam kerja lebih masa sebulan. Berdasarkan tinjauan, majoriti pekerja asing sanggup bekerja pada hari rehat iaitu empat hari sebulan.

Jika mengikut perkiraan gaji minimum yang berkuat kuasa sekarang, rata-rata pekerja asing akan dibayar sebanyak RM2,500 sebulan (bayaran termasuk kerja lebih masa dan bayaran hari rehat kerja lebih masa gandaan empat kali setiap jam).

Itu tidak termasuk bayaran tambahan sekiranya pekerja perlu bekerja pada hari kelepasan am.

Bayangkan, bayaran perlu dibayar majikan boleh mencecah sehingga RM6,000 sebulan untuk seorang pengawal keselamatan bagi tugasan 24 jam!

Jika diambil kira kos setiap jam dikenakan syarikat sekarang ialah tidak kurang daripada RM8 bagi semenanjung, manakala RM7 untuk Sabah dan Sarawak.

Berbanding di negara jiran, bayaran paling tinggi diberi ialah sebanyak 3 juta rupiah sahaja atau RM945 sebulan.

Syarikat-syarikat terbabit kini berada dalam keadaan resah menunggu penguatkuasaan penetapan gaji minimum yang bakal dinaikkan mulai tahun depan. Perlu ingat, kenaikan gaji minimum secara tidak langsung akan menyaksikan kos barangan meningkat.

Hal itu sudah lumrah dan sememangnya amat ditakuti masyarakat.

Justeru kebimbangan dinyatakan juga sejajar dengan kerisauan rakyat yang sudah terbeban dengan kos sara hidup tinggi ketika ini.

Pada hemat saya, bidang keselamatan tidak sepatutnya diletakkan di bawah satu kategori kumpulan pekerja swasta seperti buruh, kilang dan pembinaan yang cuma bekerja lapan jam sehari, berbanding pengawal keselamatan yang bekerja selama 24 jam. Sewajarnya bidang keselamatan dikategorikan sebagai khidmat penting (essential service).

Tidak dinafikan, saya telah diberi peluang beberapa kali dalam perbincangan awal kenaikan gaji di peringkat negeri Sabah dan Sarawak dengan Kementerian Sumber Manusia yang turut disertai Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) sebelum ini. Namun, pihak kami tidak lagi dilibatkan dalam perbincangan seterusnya.

Harap kementerian berkenaan dapat memberi kami peluang sekali lagi untuk sama-sama terlibat dalam perbincangan muktamad penetapan gaji minimum sebelum dilaksanakan pada tahun depan.

Setidak-tidaknya keputusan dibuat kelak dapat memberi kebaikan kepada semua pihak dengan mengambil kira semua aspek.

DATUK RAHMAT ISMAIL

Bekas Presiden

Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia