Namun, kadar gaji minimum diumum kerajaan berkuatkuasa pada tahun hadapan itu dibimbangi masih tidak mampu atasi masalah kos sara hidup yang terpaksa dihadapi para pekerja khususnya di Semenanjung.

Pada awal September lalu, kerajaan telah mengumumkan daripada kadar gaji minimum yang baru iaitu RM1,050 iaitu peningkatan sebanyak RM50 daripada kadar gaji minimum sedia ada sebanyak RM1,000.

Dengan pengumuman kadar gaji baharu yang diumumkan dalam Bajet 2019, ia menyaksikan peningkatan sebanyak RM100 berbanding kadar ketika ini.

Adalah penting untuk kerajaan memastikan kadar penyelarasan gaji minimum dilakukan di seluruh negara mengambil kira suasana dan keadaan persekitaran tempat seseorang itu bekerja terutamanya antara yang bekerja di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak; keupayaan majikan memberi jumlah gaji berkenaan di semua negeri; serta melakukan proses kajian teliti dengan semua pihak berkaitan mengenai perkara ini sebelum dilaksanakan.

Perkara ini adalah selaras dengan Seksyen 4 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732]. Memandangkan kerajaan telah mengambil keputusan terhadap penetapan gaji minimum ini, mereka juga perlu memastikan pekerja tidak terus dibelengu dengan masalah kos sara hidup.

Kerajaan perlu memperkenalkan beberapa bentuk elaun baru khusus kepada pekerja tempatan yang menerima gaji minimum ini bagi mengurangkan kos sara hidup mereka.

Kerajaan juga harus memastikan penetapan kadar gaji minimum baharu memberi manfaat khusus kepada pekerja tempatan dan bukannya pekerja asing yang dilihat masih banyak mendominasi sektor pekerjaan bergaji rendah dalam negara kita.

Penetapan kadar gaji baharu yang diumumkan ini selaras dengan kehendak Seksyen 25 (1) Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang menetapkan kadar gaji minimum dalam negara kita dikaji sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun.

Adalah penting untuk diketahui bahawa sebarang proses penetapan kadar gaji minimum juga perlu mengambil kira pandangan orang ramai serta badan–badan yang yang berkaitan mewakili pihak pekerja dan majikan seperti pihak Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan–Majikan Malaysia (MEF).

DR. MUZAFFAR 
SYAH MALLOW

USIM