Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Gajet ganti fungsi bibik

KETAGIHAN kanak-kanak terhadap gajet bermula dengan sikap ibu
KETAGIHAN kanak-kanak terhadap gajet bermula dengan sikap ibu bapa yang malas melayan anak sendiri dan menggunakan teknologi sebagai jalan mudah mengekang kerenah dan ragam anak kecil. GAMBAR HIASAN/ REUTERS


Saudara Pengarang,
BEBERAPA tahun lalu, kita semua mengalami era ‘bibik menggantikan ibu bapa’ dalam proses pembesaran anak-anak sehinggakan bahasa dan budaya bibik menjadi ikutan begitu ramai anak kecil.

Kini, fenomena tersebut agak berbeza sedikit dan bukan sahaja berlaku dalam masyarakat di Malaysia malah masyarakat di luar negara. Tempat ibu bapa sebagai contoh dan teladan anak kecil kini diambil alih gajet canggih.

Memang ramai ibu bapa yang mengakui tablet memudahkan mereka melakukan kerja rumah tanpa gangguan malah mudah mengawal tingkah laku anak jika berada di luar.

Namun, ramai yang tidak sedar kesan yang boleh memudaratkan anak-anak kecil ini khususnya rangsangan berlebihan akibat penggunaan gajet boleh mengecutkan otak kanak-kanak terutamanya yang berumur bawah tiga tahun.

Satu kajian di Malaysia yang dilaporkan baru-baru ini menyatakan bahawa 10 tahun dahulu, kadar masa fokus bagi murid di dalam kelas adalah 13 minit. Hari ini, kadar masa fokus telah jatuh kepada empat saat sahaja.

Ramai guru yang mengadu tentang permasalahan mengawal anak murid dalam kelas dan antara punca masalah ini adalah pendedahan berlebihan kepada pelbagai jenis gajet moden.

Kehidupan kita hari ini sarat dengan perkembangan teknologi dan agak janggal sekiranya seseorang itu menolak perkembangan terkini misalnya penggunaan telefon pintar, komputer atau tablet.

Kecanggihan teknologi tidak dapat dinafikan kerana mempunyai banyak kebaikan dan memudahkan urusan seharian terutama dalam urusan komunikasi, menyiapkan tugasan, alat pembelajaran atau penghantaran dokumen secara pantas.

Antara kebaikan penggunaan teknologi dalam kalangan kanak-kanak termasuklah kanak-kanak lebih mudah faham dan cepat belajar melalui interaksi imej yang bergerak dan bunyi di samping membantu perkembangan intelektual dan pemahaman mereka.

Gajet yang memerlukan kanak-kanak berinteraksi melalui sentuhan pada skrin menjadi antara kaedah terbaik menarik perhatian mereka untuk belajar dan faham dengan lebih pantas.

Selain itu, aplikasi yang digunakan sebagai alat pembelajaran memberi kelebihan kepada kanak-kanak kerana selalunya ia lebih menarik, tidak membosankan dan mudah bagi kanak-kanak untuk belajar secara sendiri.

Bagaimanapun, terdapat juga keburukan pendedahan gajet terlalu awal kepada kanak-kanak termasuklah menjejaskan pergaulan sosial dan interaksi dengan individu mahupun persekitaran mereka.

Kanak-kanak perlu bergaul dengan rakan sebaya serta keluarga untuk membantu perkembangan kemahiran sosial, berinteraksi dan berkomunikasi. Tidak ada peranti yang dapat menggantikan faedah komunikasi secara langsung dengan orang lain.

Penggunaan gajet terlalu awal dalam kehidupan mendedahkan kanak-kanak kepada rangsangan berlebihan seperti bunyi kuat, cahaya terang, warna yang menyala dan pelbagai gerakan sehingga menimbulkan gejala ‘ketagihan’.

Jika terlalu terdedah dengan begitu banyak rangsangan dalam jangka panjang mungkin menyebabkan anak kecil meragam sekiranya mereka tidak dapat menggunakan tablet.

Sebaliknya, hidup mereka perlu diselit dengan aktiviti fizikal seperti mengayuh basikal, bersukan, membaca buku cerita dan banyak lagi.

Terlalu bergantung kepada teknologi juga akan membuatkan kanak-kanak mudah bosan apabila berdepan dengan pengajaran tradisional yang diberikan guru menggunakan papan hitam.

Kanak-kanak yang bergantung kepada teknologi untuk mengisi masa lapang turut menjadi kurang aktif dari segi fizikal sedangkan pergerakan penting untuk membantu pertumbuhan badan, membina otot yang kuat dan mengenal pasti kebolehan fizikal masing-masing.

Kanak-kanak mungkin akan menjadi terlalu obses dan ketagih kepada teknologi sehinggakan tidak dapat hidup tanpa tablet, komputer mahupun televisyen.

Ini akan menyebabkan mereka menjadi resah, terganggu dan mungkin melepaskannya dalam cara menangis dan mengamuk.

Oleh itu, ibu bapa haruslah mengambil langkah membantu anak-anak menyesuaikan diri menggunakan teknologi terkini dengan berhemah khususnya untuk belajar dan bukan hanya untuk hiburan semata-mata.

Gunakan gajet sebagai ‘bibik moden’ untuk membantu anak belajar membaca, mengira, menulis serta membina kreativiti dan inovasi dari kecil. Jangan sampai gajet itu pula yang ‘mengawal’ hidup anak-anak kita.

FATIN AFIRA MD. GHANI
Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain