Bagusnya gajet dengan pelbagai aplikasi mampu membawa dunia di hujung jari, yang tidak bagusnya pula melahirkan masyarakat anti-sosial. Budaya itu kini telah diterapkan sedari kecil yang mana ibu bapa memberi dan menghadiahkan gajet mewah seperti iPhone, Netbook dan lain-lain yang turut dilengkapi Internet, sebagai tanda kasihkan anak.

Namun wajarkah tindakan sesetengah ibu bapa memberi kanak-kanak seawal usia dua tahun bermain gajet walaupun untuk tujuan pembelajaran? Jika dinilai banyak buruk daripada baik apatah lagi kanak-kanak diberi kebebasan menggunakan gajet berinternet tanpa pengawasan sepenuhnya oleh ibu bapa yang rata-rata sibuk dengan karier.

Memetik kenyataan Pengerusi Badan Bertindak Kesedaran Seksual Kanak-Kanak (MCPSA), Sabri Rahman: “Budaya menghadiahkan gajet kepada anak sebagai pengganti kesibukan ibu bapa perlu dihentikan kerana perbuatan itu akan menjadi racun yang mendorong berlakunya pelbagai masalah sosial termasuk rogol dalam kalangan kanak-kanak dan remaja”.

Selain itu, kesan negatif akibat leka gajet juga boleh menjejaskan kesihatan, antaranya mata cepat rabun dan tahap kecergasan menyusut kerana kurang melakukan aktiviti fizikal.

Hasil tinjauan TLF Panel Survey mendapati 37 peratus ibu bapa memaklumkan anak-anak mereka menghabiskan masa antara satu dan dua jam bersama gajet dan 28 peratus menghadap gajet selama dua hingga tiga jam.

Masalah ini dapat dibendung sekiranya ibu bapa sendiri menjadi role model dalam menyeimbangkan penggunaan gajet dengan kehidupan. Saya katakan demikian kerana kaji selidik Google mendapati rakyat Malaysia menduduki tangga teratas sebagai multi-tasker di dunia, iaitu kemampuan menggunakan gajet ketika melakukan perkara lain termasuk memandu.

Peranan ibu bapa amat besar dan perkara itu ada disebut Islam menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 28: “Sesungguhnya harta-harta kami dan anak-anak kamu adalah ujian”. Ujian dimaksudkan termasuk menguji adakah ibu bapa sudah menunaikan tanggungjawab dan memberi kepada anak-anak hak mereka yang sepatutnya.

Hakikatnya kita tidak dapat menolak penggunaan gajet canggih seiring dengan arus pemodenan, namun harus diingat bahawa penggunaan yang tidak terkawal akan menyebabkan berlakunya ‘virus’ yang semakin membimbangkan terhadap generasi akan datang.

RABI’ATULADAWIAH SAMEWOI Terengganu