Alasan hutang negara tinggi dijadikan modal untuk menyekat dana RM90 juta (juta bukan bilion) untuk program tersebut yang telah banyak mengangkat warga Malaysia ke puncak menara gading.

Jayakumar turut mencadangkan derma Tabung Harapan Malaysia (THM) yang kini melangkaui RM160 juta diagihkan kepada MyBrain dan program seumpamanya untuk memperkasakan kehidupan rakyat jika kerajaan sudah terlalu ‘sengkek’.

Dalam kesibukan menteri melayan tuntutan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan membantu sekolah persendirian menengah Cina (SPMC), saya pasti kosnya lebih daripada RM90 juta.

Namun, tuntutan DAP itu tetap akan dilayan sementara MyBrain dan pelbagai projek bermanfaat daripada kerajaan terdahulu seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan apa sahaja dengan logo 1Malaysia mahu dibatalkan atas alasan ‘hutang negara’.

Suka saya ingatkan Maszlee imej ‘Islamik’ beliau semakin hari semakin hilang dek kerana gagal menunaikan janji (tol), tidak menjaga amanah (bahasa Melayu dalam UEC) dan tunduk kepada tekanan DAP.

Ibu dan isteri saya menjadi antara yang bertuah sempat menikmati bantuan MyBrain untuk kursus sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) tetapi nampaknya tidak ada lagi peluang untuk anak saya.

KHAIRUL ANWAR

TSG, Selangor