Orang Melayu harus memastikan parti yang akan dipilih berpegang teguh kepada pendirian untuk mempertahankan kedudukan Islam, raja-raja Melayu dan hak istimewa kaum itu.

Tidak mustahil Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan akan diubah walaupun tanpa kerelaan orang Melayu sendiri jika mereka tidak lagi memegang kuasa dominan di negara ini.

Oleh itu, langkah memastikan kemenangan besar parti Melayu dalam PRU-14 akan menjamin kedudukan Islam, raja-raja Melayu dan hak istimewa kaum itu serta pribumi terus dipertahankan.

Cuma menjadi kebimbangan saya, ada pengundi muda Melayu akan membuat keputusan salah dengan memilih parti tidak membela nasib kaum itu kerana terpengaruh dengan pelbagai dakyah yang disebarkan dalam alam siber.

Pada masa sekarang terdapat cubaan untuk menghakis peranan raja-raja Melayu melalui pandangan negatif dalam alam siber sehingga timbul perpecahan dalam kalangan orang Melayu antara kumpulan yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan pandangan itu.

Alam siber digunakan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak tidak bertanggungjawab berkenaan untuk menyerang tanpa rasa bersalah apa juga perancangan dan pelaksanaan program oleh kerajaan yang diterajui oleh orang Melayu.

Jika dibiarkan, saya bimbang lebih ramai rakyat akan terpengaruh dengan fakta songsang dan banyak orang Melayu akan berpegang kepada keyakinan bahawa pendekatan liberal atau pentadbiran politik tanpa berpaksikan Islam boleh menjamin kebajikan ummah selepas PRU-14.

Perbezaan pendapat dibolehkan tetapi jangan sampai memuat naik fakta palsu dan fitnah dalam alam siber. Tentera siber ini yang ada dalam kalangan mereka dikenali dengan identiti sebenar atau hanya berselindung dengan nama tertentu bergerak dan beroperasi secara individu atau berkumpulan.

Perbuatan mereka tidak boleh dipandang remeh. Tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada perlu dikenakan ke atas mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

Orang Melayu khususnya golongan muda tidak boleh sekadar bertahan dan menerima sahaja segala tohmahan itu. Mereka tidak boleh hanya menafikan dan menjawab dengan lesu segala tuduhan palsu dan fitnah itu.

Justeru, generasi muda Melayu perlu menunjukkan semangat kepahlawanan dengan menjadi hulubalang siber yang berada di barisan hadapan untuk mempertahankan maruah kaum itu agar tidak mudah dipermainkan orang lain.

Ada beberapa pendekatan yang boleh digunakan untuk membalas balik serangan tentera siber berkenaan termasuk membentuk pasukan khas hulubalang siber secara rasmi. Mereka perlu dianggotai pakar dalam pelbagai bidang yang menyalurkan kepada orang ramai maklumat tepat dan adil dalam alam maya.

Langkah itu bertujuan menangkis segala fitnah, penghinaan, membetulkan fakta salah berkaitan Islam, hak bumiputera, raja-raja Melayu, pendidikan, ekonomi dan fitnah kepada pemimpin Melayu.

Pasukan hulubalang siber ini perlu ditubuhkan sebagai satu entiti sah dari segi undang-undang yang boleh dibawa ke muka pengadilan jika fakta dikemukakan mereka tidak benar. Para usahawan turut berperanan menyalurkan sumbangan wang bagi membiayai kumpulan berkenaan.

DR. MUHAMMAD ARIF 
MOHD. HASHIM

Yang Dipertua Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor (GIBS)