Dengan harga barang naik mendadak dan pendapatan rakyat terutama sekali yang makan gaji tetap sama ada di sektor kerajaan atau swasta yang tidak seimbang pendapata nmereka dengan harga barang ketika ini. Ia bukannya masalah rakyat menjadi malas atau lari daripada tanggungjawab tetapi keadaan hidup yang terhimpit lagi terdesak.

Bayangkan dengan pendapatan bersih sebanyak RM2,000 untuk seisi keluarga bagaimana untuk mengharungi kehidupan harian dengan anak-anak masih bersekolah dan juga membayar sewa rumah serta barang dapur perlu disediakan.

Keadaan kami yang terhimpit di tengah-tengah yang tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana harga rumah naik melambung dan perbelanjaan anak-anak ke sekolah yang kadangkala tanpa wang saku dan pergi sekolah dalam keadaan lapar hingga ke petang, jadi manalah kami hendak mengadukan nasib.

Dengan adanya BR1M berjumlah RM1,200 setahun itu akan sedikit sebanyak dapat juga kami belikan pakaian sekolah dan membayar yuran PIBG di hujung tahun atau membayar hutang dan pelbagai cukai lain.

Harapan kami agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) utamakan kebajikan rakyat terlebih dahulu dan bantulah kami yang begitu terhimpit ini. Kami faham masalah kerajaan baharu bagaimana untuk mengatasi hutang negara yang mencecah 1 trilion ringgit tetapi dalam masa sama masalah rakyat juga mesti diambil kira.

Secara logik, sepatutnya harga tol dapat dikurangkan 30 peratus kerana kenderaan yang menggunakan lebuh raya semakin hari semakin bertambah. Begitu juga harga minyak petrol sepatutnya diturunkan di bawah paras RM2 seliter memandangkan negara kita adalah pengeluar minyak.Rakyat tidak mahu alasan itu dan ini kerana rakyat pegang kepada janji sebagai mana dalam manifesto PH.

Kalau benar-benar susah biar sama-sama susah di mana semua menteri Kabinet dipotong separuh daripada gaji serta elaun. Jangan guna kereta mewah sama ada kereta rasmi atau kereta sendiri. Guna Proton atau Kancil sahaja serta jangan guna jet rasmi untuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kerana kos penyenggaran yang tinggi dan kurangkan duduk di hotel-hotel mewah. Itulah yang dilakukan oleh rakyat dan kerajaan negara Jepun dahulu apabila negara mereka hilang segala-segalanya disebabkan Perang Dunia Kedua.

Mereka bangun kembali apabila pemimpin dan rakyat sama-sama bekerja dari bawah tanpa mengira status pangkat dan darjat. Kalau mahu berjaya ikut cara dan kaedah Jepun dan bukannya hanya atas kertas sahaja. Susah biar sama-sama susah dan apabila senang biar sama-sama senang.

Pastikan remaja kita mendapat pekerjaan dan jangan biarkan mereka menjadi penganggur walau pun sudah mempunyai ijazah dan diploma. Kerajaan perlu tegas memberikan pekerjaan kepada anak Malaysia dan bukannya kepada pendatang asing. Masalah kemisikinan tegar mesti diatasi kerana ramai lagi rakyat Malaysia ‘kais pagi makan pagi’. Perkasakan semula wang zakat yang dipungut mencecah ratusan jutaan ringgit.

Hapuskan gejala rasuah hingga ke lubang cacing kerana salah satu punca negara hampir lumpuh adalah kerana rasuah.

Buang pegawai dan kakitangan yang kuat ponteng atau tidak dapat menjaga amanah diberikan.

‘Ukur baju pada badan sendiri’ atau ‘sama rata sama rasa’ dan buang perangai ‘biar papa asalkan bergaya’. Kalau tidak mampu buatlah macam orang tidak mampu jangan berlagak kerana kita belum sampai masanya untuk berbuat sedemikian. Berkerjalah demi negara sehingga kita berjaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang telah pun menikmati segala kemakmuran.

SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL

Ampangan