Kenyataan terbaharu Maszlee kononnya masa ‘terbuang’ membasuh kasut putih boleh digunakan untuk membaca buku atau ulang kaji pelajaran selepas pelaksanaan polisi kasut sekolah warna hitam amat dangkal.

Adakah murid menghabiskan masa beberapa jam untuk membasuh mahu pun mengapur sepasang kasut? Beberapa minit yang ‘terbuang’ seolah-olah berjam-jam dapat dimanfaatkan.

Tambahan pula, majoriti murid dan pelajar sekolah tidak akan memikirkan soal buku sekalipun mempunyai banyak masa terluang kerana jiwa kanak-kanak dan remaja mahu menghabiskan masa terluang dengan perkara menghiburkan atau digemari.

Kelebihan polisi kasut hitam adalah mengurangkan kekotoran menonjol pada permukaan kasut, tidak banyak pun duit dapat dijimatkan kerana tidak perlu membeli kapur kasut apatah lagi masa ‘terluang’.

Saya sebenarnya menyokong polisi kasut hitam tetapi pada masa sama pak menteri pun perlu akui membasuh kasut adalah antara cara mengajar disiplin dan tanggungjawab kepada murid dan pelajar.

Jangan pula digambarkan kasut hitam langsung tidak perlu dibasuh apatah lagi kononnya menjimatkan ‘beribu ringgit’ perbelanjaan isi rumah. Tutup tol lebih banyak penjimatan daripada tukar warna kasut.

Lain kali, berhati-hati bila bercakap supaya orang ramai khususnya anak muda tidak mempertikaikan tahap pemikiran golongan pemimpin negara seterusnya menguatkan lagi dakwaan ‘tidak perlu cerdik untuk jadi ahli politik’.

PENDIDIK VETERAN

Cheras