Jika pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi pelbagai insentif seperti payung dan beg kitar semula kepada ahli komuniti yang membayar cukai pintu dan tanah, pastinya program pengasingan sisa akan berjaya jika turut diberi ganjaran yang sama.

Apatah lagi jika ganjaran yang diberikan itu dalam bentuk rebat cukai pintu atau cukai tanah. Saya fikir ini adalah antara cara berkesan untuk kita menggalakkan budaya kitar semula dan pengasingan sisa pepejal dalam kalangan masyarakat.

Tidak dinafikan penguatkuasaan undang-undang boleh mengubah cara hidup masyarakat tetapi tiada salahnya mereka yang benar-benar membudayakan kitar semula dan pengasingan sisa pepejal diberikan juga penghargaan sewajarnya.

Dalam pada itu penggunaan media sosial adalah antara medium yang terbaik dalam usaha kita mempromosikan kempen kitar semula dan pengasingan sisa pepejal selain iklan-iklan dalam media arus perdana. Sedarlah bahawa tanggungjawab memelihara alam sekitar adalah tanggungjawab bersama.

SITI HAJAR AISYAH
 ZAINUDDIN

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)