Dahulu Tan Sri Isa Samad mahu memecat Zakaria di atas alasan urus tadbir. Sekarang kita dengar cerita Tan Sri Sulaiman Mahbob juga mahu memecat Zakaria kemungkinan atas alasan sama ada menjawab persoalan rasuah yang pernah timbul dan isu utama sebelum ini atau pun cuba menutup sesuatu salah laku yang berkaitan rasuah beberapa ahli lembaga pengarah atau melindungi salah guna kuasa yang pernah diperkatakan. Ini menjadi persoalan yang perlu diperjelaskan oleh Sulaiman.

Jika kita lihat dari segi imej Isa dan Sulaiman, kedua-duanya mempunyai imej yang berbeza, tetapi mereka mempunyai integriti yang sama, dan jika ini berlaku sudah pasti saham FGV juga akan terus turun dan bukannya semakin pulih.
 Maka dengan ini saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Sulaiman mengapa beliau bersama lima ahli lembaga pengarah yang lain menganggap bahawa Zakaria sebagai penghalang kepada agenda mereka.

Saya juga ingin bertanya Sulaiman, siapakah yang bertanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir FGV? Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif atau enam orang ahli lembaga pengarah FGV?

Kita semua mengetahui bahawa dalam satu organisasi sebuah syarikat atau corporate practise di dalam dunia ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif lah yang diamanahkan untuk mengurus atau mentadbir sesebuah organisasi, mungkin beliau lupa cara bagaimana corporate practise yang sebenarnya.
 Beliau juga perlu bertindak lebih profesional berkaitan informasi di dalam FGV. Banyak antara diperkatakan yang disalurkan melalui aplikasi grup-grup WhatsApp sehingga ada yang boleh menimbulkan salah faham dan salah pengertian kepada pembaca WhatsApp di grup. 
 Jika Sulaiman tidak dapat menjawab maka eloklah sekiranya, kita meminta Datuk Idris Jala dan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertindak lebih proaktif untuk masuk dan siasat agenda peribadi enam orang ahli lembaga pengarah FGV ini kerana saya melihat itu adalah jalan yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut di FGV. Jujur, amanah satu perjuangan.

DATUK AZWANDDIN HAMZAH

Presiden Jaringan Melayu Malaysia