Bagaimanapun ada segelintir individu yang sukar tidur dengan lena. Jika keadaan ini berlaku sebaik-baiknya individu terbabit bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. Jangan diabaikan masalah ini kerana tidur yang lena amat berkait rapat dengan soal penjagaan kesihatan.

Yang pasti, tidur yang lena dan cukup amat penting bagi tubuh manusia. Sekiranya kita mendapat rehat yang cukup melalui tidur sudah tentu tubuh akan menerima kesan-kesan positif seperti tekanan darah dan pertumbuhan hormon yang stabil.

Ada sesetengah orang hanya suka tidur pada waktu malam sahaja, akan tetapi ramai tidak menyedari bahawa tidur siang juga ada manfaatnya kepada kita. Syaratnya, jangan ambil masa terlalu lama.

Selain itu, amalan tidur siang boleh membantu mengawal dan mengurangkan tekanan. Apa pun, tidur malam tetap penting. Mahu tidak mahu rutin ini perlu sentiasa diamalkan dalam usaha memastikan tahap kesihatan kita sentiasa pada tahap terbaik.

NAZIHAH SYAIRAH CHE ROSLAN

Universiti Sains Islam Malaysia