Alasan pihak berkenaan adalah konsep ketuanan Melayu yang dibawa oleh UMNO tidak dapat memberikan kesamarataan atau keadilan sosial kepada semua kaum. Suara seperti itu didendangkan oleh golongan yang anti kepada dominasi politik Melayu di negara ini.

Ia bukan sahaja datang daripada musuh tradisi UMNO, terutama dalam kalangan kepemimpinan parti politik pembangkang bukan Melayu, malah termasuk pemimpin Melayu yang memang tidak memahami pengertian sebenar konsep ketuanan Melayu. Bagi golongan terbabit, dengan terhapusnya kuasa UMNO dalam Kerajaan Pusat maka berkuburnya ketuanan Melayu dalam persada politik tanah air.

Saya sebenarnya tidak berhasrat membahas benar atau tidaknya tuduhan golongan yang antiketuanan Melayu itu. Sebaliknya, perkara yang ingin disentuh adalah pengertian sebenar konsep ketuanan Melayu.

Ketuanan Melayu adalah konsep yang murni dan berpijak di bumi nyata. Ia berdasarkan warisan budaya dan sejarah negara ini. Ketuanan Melayu itu sudah terbina sejak asal kewujudan kerajaan dan tamadun Melayu itu sendiri. Kesultanan Melayu adalah tapak atau landasan kepada ketuanan Melayu.

Justeru, bila kita menyebut ketuanan Melayu dalam konteks hari ini maka ia bukan sekali-kali bermaksud fanatik kepada perkataan Melayu itu sebaliknya hanya berpegang kepada asas sejarah yang diwarisi sejak dahulu lagi.

Kerana asas sejarah ini, maka tradisi ketuanan Melayu atau kesultanan Melayu terus dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan melibatkan kedudukan raja-raja Melayu, hak istimewa bumiputera, tanah rizab Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan Islam.

Dalam pada itu, ketuanan Melayu tidak boleh dikaitkan sama sekali dengan masalah kleptokrasi atau apa-apa bentuk penyelewengan mega yang dilakukan oleh mana-mana pemimpin Melayu.

Sekiranya ada pemimpin daripada mana-mana parti Melayu yang berjuang atas nama Melayu melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa maka tabiat itu berpunca daripada nafsu serakah mereka yang berkuasa dan bukan kerana kehendak konsep ketuanan Melayu itu sendiri. Penyelewengan itu tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk menghapuskan konsep ketuanan Melayu.

AYOP

Batu Caves, Selangor