MERUJUK kepada surat Tan Sri Lee Lam Thye berhubung pengurangan jumlah anak kapal dalam pesawat jenis narrow body, Malaysia Airlines ingin menegaskan bahawa keselamatan sentiasa menjadi keutamaan syarikat penerbangan kami dan 
segala prosedur adalah bertepatan dengan 
piawaian keselamatan antarabangsa.

Untuk makluman, Malaysia Airlines masih di peringkat percubaan bagi operasi dengan empat anak kapal untuk pesawat yang mempunyai 166 tempat duduk. Ini adalah bertepatan dengan piawaian keselamatan antarabangsa dan Malaysia.

Kira-kira 98 peratus daripada keseluruhan pesawat jenis narrow body Boeing 737 dan Airbus 320 di serata dunia beroperasi dengan empat anak kapal bagi setiap pesawat. Malaysia Airlines tidak terkecuali cuba mempraktikkan amalan terbaik industri ini dalam operasi kami setelah mengambil kira aspek keselamatan, keperluan kawal selia dan perkhidmatan kepada penumpang yang amat dihargai.

Ringkasnya, jumlah anak kapal sedia ada untuk pesawat jenis ini tidak akan menjejaskan mutu perkhidmatan yang diberikan kepada penumpang. Perubahan dalam jadual pekerjaan turut dirancang untuk membolehkan anak kapal menikmati cuti tambahan dan jadual kerja yang lebih fleksibel.

Kami ingin menegaskan bahawa keselamatan penumpang dan anak kapal kami tidak terjejas dengan operasi empat anak kapal kabin dalam operasi pesawat Boeing 737.

KHAIRUNNISAK 
DZUN NURIN

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat

Malaysia Airlines Berhad (MAB)