Sejauh mana golongan elit Melayu dan kelas menengah sendiri ‘bangkit’ dan berperanan dalam memperkasa penguasaan ekonomi bangsa dalam limpahan kekayaan di tanah air ini?

Sebabnya, Melayu marhaen sama ada yang membanting tulang di luar bandar mahupun kelas pekerja, sekalipun di pangkal nama berketurunan bangsawan tetap menghuni flat kos rendah sekitar Lembah Klang, setiap hari memikirkan kelangsungan hidup diri dan keluarganya.

Kalau tidak berdikari dan bekerja keras, nanti kelas elit Melayu tuduh golongan marhaen ini sebagai ‘pemalas’ dan tidak mahu berusaha. Petani dan nelayan pantai bahkan juruwang di kompleks beli-belah memang ‘tiada masa’ untuk fikir soal ‘perjuangan Melayu’ pun sebab kelangsungan perut sendiri dan ahli keluarga lebih mendesak.

Soalnya, selepas pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) berakhir pada 1990, apa pula kesinambungan usaha pemimpin politik Melayu dalam kerajaan selain birokrat dan intelektual Melayu dalam memastikan agihan ekonomi dan kemakmuran negara berlaku lebih adil? Bagaimana ketika negara di bawah kerajaan Melayu sebelum ini menyaksikan pendapatan isi rumah kaum Cina boleh jauh melebihi kaum Melayu pada 2009?

Dr. Muhammed Abdul Khalid dalam bukunya, Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan di Malaysia (2017) membentangkan data tentang begitu besarnya jurang kekayaan dan agihan pegangan ekonomi antara orang Melayu dengan Cina.

Apa elit Melayu buat sebelum ini hinggakan bumiputera mempunyai paling sedikit kekayaan berbanding kaum lain?

Bagaimana boleh wujud jurang luas dalam aset kewangan apabila kaum Cina mempunyai 2,135 kali ganda aset kewangan berbanding bumiputera?

Bahkan, Dr. Muhammed yang kini dilantik sebagai Penasihat Ekonomi kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga menyebut realiti jurang ekonomi yang amat mengecewakan:

“Kelompok 20 peratus terbawah kaum Cina mempunyai kekayaan hampir sama dengan kekayaan kelompok 40 peratus terbawah bumiputera. Ini bermakna bahawa seorang Cina yang ‘miskin’ tidak jauh berbeza dengan seorang Bumiputera kelas menengah.”

Oleh itu, tidak wajar untuk kita pukul rata menganggap orang Melayu ‘fikir hidup dia sahaja’ ketika kelas elit Melayu sama ada ahli politik, usahawan dan intelektual sebenarnya yang ‘fikir pasal hidup dia sahaja’.

Ketika masih mempunyai kuasa politik dahulu, tiada pula tekad politik yang tinggi untuk menggembleng jati diri orang Melayu.

Ramai pemimpin Melayu sebelum ini pun tiada jati diri.

Cakap Melayu pun tunggang-langgang, jangankan kata berseni lebih banyak nista maki. Mahu lagi sembang soal semangat perjuangan Melayu?

Kes korupsi menggunung, penyelewengan dan bernanahnya ketirisan dana awam berbilion ringgit seperti terpapar dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara, adakah itu semua hasil perjuangan atau ‘perjuwangan’ Melayu?

Apa yang kepimpinan Melayu buat sebelum ini apabila sebanyak 74.3 peratus bumiputera tidak mempunyai sebarang aset hartanah? Padahal, kaum Cina yang tiada aset hartanah hanya 16.8 peratus!

Dari segi bahasa, budaya dan pendidikan juga, rata-rata pemimpin Melayu tidak peduli pun.

Masing-masing bertelagah demi merebut kuasa politik sehingga mengundang perpecahan, taksub kepartian bahkan tidak cakna terhadap hal berkaitan bangsanya sendiri.

Elit politik Melayu termasuk sebahagian besar Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Melayu juga tidak amanah melaksanakan tanggungjawab kepada bangsanya sendiri.

Elit politik diampu jilat oleh sebahagian birokrat Melayu yang sebenarnya ‘fikir pasal hidup dia sahaja’, bukan keadilan dan masa depan masyarakat Melayu.

Berbeza dengan semangat majoriti orang Cina, keutamaan mereka kepada bahasa, budaya, ekonomi dan pendidikan Cina disuarakan kuat oleh kelas elit politik dan ekonomi Cina.

Mereka selamba saja bercakap tentang mahu memperkasa identiti Cina apabila menyentuh soal bahasa dan pendidikan Cina, tidak seperti majoriti elit Melayu yang segan-segan, apologetik bercakap tentang bahasa dan kepentingan Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak walaupun perkara yang sah termaktub dalam Perlembagaan.

Masyarakat Cina daripada para taikun mereka, segala Hua Tuan (pertubuhan Cina) sehingga parti politik MCA-Gerakan-DAP boleh bersatu apabila tiba sebarang bentuk kepentingan mereka secara langsung mahupun tidak langsung.

Tidak seperti rata-rata kelas elit politik Melayu, yang hanya mengajak Melayu supaya ‘bersatu’ apabila kuasa hilang di tangan, ringgit kontang di saku.

ARIF ATAN

Kampung Baru, Kuala Lumpur