Pada masa sama tayangan filem itu, sidang pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berlangsung selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Persidangan kali ini sangat menarik perhatian kerana ia ujian pertama kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir khususnya dalam pemilihan speaker kerana kedudukan kerusi blok pembangkang dan kerajaan adalah sama iaitu masing-masing 18 kerusi.

Sekiranya blok pembangkang mahupun kerajaan gagal mencapai kemenangan dalam pelantikan speaker berkenaan, maka Pilihan Raya Negeri mungkin terpaksa diadakan.

Selepas tamat pengundian, pihak kerajaan menang dan berjaya melantik speaker dari parti mereka selepas mendapat 21 undian hasil sokongan tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN).

Keputusan yang menyaksikan ADUN BN memberi sokongan dan bukannya mengambil sikap berkecuali mahupun menolak calon PH adalah satu revolusi kecil politik di Kedah.

Seperti yang dilakukan Mandela demi rakyat Afrika Selatan dengan berkorban kepentingan diri dan melawan arus bantahan sebilangan penyokong sendiri demi negara, begitu juga tiga ADUN BN Kedah berkorban kepentingan diri demi bersama memajukan negeri tercinta.

Ini menggambarkan kematangan politik tiga ADUN berkenaan. Inilah pembangkang cara baharu yang diperlukan negara. Pembangkang tidak perlu membangkang dalam segala hal, adakalanya perlu juga bersetuju dengan pihak lawan demi menjaga kepentingan yang lebih besar iaitu rakyat Kedah.

Ia ibarat melangkah setapak ke belakang bagi mengatur semula strategi untuk menghadapi perhitungan yang lebih besar pada masa hadapan. Biar dilihat kalah kali ini tetapi bakal menang di masa hadapan.

Lagipun, harus difahami rakyat sudah tidak mahu melihat sikap berpolitik sepanjang masa. Pilihan raya negeri sebenarnya tidak menguntungkan mana-mana pihak kerana yang menang jadi arang dan yang kalah jadi abu. Yang menerima kesan negatif adalah rakyat apabila masa dan duit terbuang lagi dengan berpolitik.

Harus di ingat juga langkah menyokong pelantikan speaker daripada PH itu bukan bermaksud ADUN BN menyokong kerajaan PH, tidak sama sekali.

Mereka bersetuju dengan pelantikan speaker dengan hati yang berat demi kelangsungan negeri. Mereka mungkin tidak bersetuju dalam isu lain yang melibatkan kepentingan massa.

Tindakan berkenaan juga selepas perbincangan panjang, mengambil kira semua aspek serta telah dipersetujui kepimpinan parti di peringkat negeri dan pusat.

Tiga ADUN BN itu akan terus menjadi pembangkang yang progresif dan tetap mengutamakan kepentingan parti sekalipun mendapat kecaman daripada penyokong UMNO sendiri.

ZAHARI MORAD

Alor Setar, Kedah