Penganjuran minggu orientasi di universiti awam ini kebiasaannya diterajui oleh Unit Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan dibantu oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), persatuan-persatuan pelajar dan jawatankuasa kolej mahasiswa.

Minggu orientasi sangat besar impaknya terutama dalam usaha memberi panduan awal kepada siswa baharu untuk mengharungi dunia menara gading yang serba asing ini. Misalnya, aktiviti pengenalan kepada polisi dan peraturan universiti yang berperanan memandu arah siswa baharu tentang hala tuju universiti.

Aktiviti debat antara siswa memberi panduan agar mereka bijak mengolah dan mengutarakan pendapat dan bangkangan. Aktiviti keagamaan seperti muzakarah, usrah dan perbincangan moral mengajak siswa untuk berpegang teguh menurut panduan agama.

Aktiviti kesukanan pula mendorong mereka kepada gaya hidup siswa yang sihat. Tidak terkecuali aktiviti kemasyarakatan yang menyerlahkan bahawa siswa mempunyai tanggungjawab terhadap perkembangan komuniti dan sosial.

Bagaimanapun, kejayaan pihak universiti mengadakan minggu orientasi yang sempurna boleh terjejas jika terdapat anasir-anasir yang tidak memenuhi aspirasi universiti. Misalnya, program sampingan tidak rasmi yang dianjurkan oleh siswa senior untuk menunjukkan ‘senioriti’ masing-masing dengan aktiviti tidak bermanfaat dan lebih kepada niat untuk membuli.

Ini sangat mengaibkan dan dikhuatiri akan memberi kesan negatif kepada siswa baharu dari segi semangat belajar dan gaya berfikir mereka.

Justeru, pihak universiti dan MPP bertanggungjawab menghindarkan program-program yang tidak berasas sebegini. Sebagai langkah kawalan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semua universiti awam telah mengetatkan kaedah pemilihan siswa senior untuk menjadi ahli jawatankuasa penganjur minggu orientasi siswa ini.

Asasnya, demi memastikan tidak wujud kes-kes buli atau penganjuran aktiviti yang tidak relevan terhadap siswa baharu. Kaedah ini diakui telah memberi kesan positif. Namun usaha itu mungkin masih belum mencukupi. Di sini terdapat beberapa cadangan yang boleh dijadikan pertimbangan pihak universiti untuk memastikan kelancaran dan kemurnian minggu orientasi siswa baharu;

* Pihak universiti perlu meng­ambil tindakan yang lebih tegas terhadap pelajar senior yang didapati membuli pelajar baharu bukan sahaja dalam minggu orientasi bahkan pada sepanjang masa pengajian.

* Pemilihan ahli jawatankuasa penganjur dan fasilitator dalam kalangan siswa perlu dilaksanakan dengan lebih teliti. Hanya mereka yang benar-benar matang, serius, menunjukkan sifat kepimpinan dan berakhlak terpuji yang dipilih.

Semua aktiviti yang dianjurkan sepanjang minggu orientasi perlu dikawal, dipantau dan diaudit sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang aktiviti yang bercanggah dengan matlamat sebenarnya dalam minggu orientasi.

* Para siswa baharu diberikan ruang yang seluasnya untuk membuat aduan sekiranya berlaku sebarang aktiviti buli atau tidak relevan yang berlaku kepada mereka semasa dan selepas minggu orientasi. Ia akan menjadi satu bentuk jaminan bahawa universiti benar-benar bertanggungjawab terhadap kebajikan mereka. Mereka juga tidak perlu bimbang dengan apa-apa tindakan daripada pihak senior.

Perlu ada mekanisme kawalan secara langsung terhadap semua aktiviti yang dilaksanakan sepanjang minggu orientasi daripada pegawai-pegawai universiti yang bertanggungjawab seperti Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, pegawai-pegawai seperti di Unit Hal Ehwal Pelajar dan fakulti, pengetua kolej kediaman, pengurus serta felo-felo asrama.

DR. KHAIRUNNEEZAM 
MOHD. NOOR

Pensyarah kanan

Universiti Sains Islam Malaysia